‘Terima kasih sahkan Pas tiada hubungan dengan PH’

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM – Pas mengucapkan terima kasih kepada Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang mengesahkan parti itu tidak mempunyai sebarang hubungan dengan parti-parti pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengesahan itu sekali gus menjelaskan bahawa tiada pendekatan 'khemah besar' antara Pas dan PH bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Pas sepanjang masa amat konsisten dengan pendirian mendukung dan memperkuatkan kerajaan persekutuan yang diterajui bersama oleh Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

“Pas amat yakin pendekatan penyatuan ummah yang boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputera adalah formula yang paling berkesan serta akan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Amanah menegaskan pendekatan khemah besar yang dicadangkan PH sebelum ini tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada dalam kerajaan sama ada UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, khemah besar yang dimaksudkan adalah soal penyatuan dan kerjasama parti-parti pembangkang bagi menghadapi PRU15.

Takiyuddin menambah, parti itu melalui pendekatan Politik Matang dan Sejahtera sentiasa komited, sedia berbincang dan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15.

“Apa yang penting dalam era pasca pandemik ini adalah kepentingan rakyat dan negara diutamakan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: