'Dakwaan Pafa pincang untuk tutup kesilapan sendiri'

Shahrul Zaman Yahya
Shahrul Zaman Yahya
A
A
A

DAKWAAN bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berhubung wujud kepincangan dalam pengurusan Pafa sebelum ini pada sesi penggulungan Sidang Dun Perak semalam dilihat hanya sebagai usaha untuk menutup segala kesilapan termasuk ‘keaiban’ dilakukan.

Bekas Timbalan Presiden Pafa, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, dakwaan Hasnul Zulkarnain yang juga Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi berkenaan jelas satu usaha bagi mengalihkan pandangan serta perhatian orang ramai dengan ‘menyerang’ pihak dan individu lain.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hasnul dedah kepincangan dalam Pafa]

Bagaimanapun, menurutnya, kesemua dakwaan berkenaan sudah dijawab ketika sesi penggulungan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini.

“Pertama, kesemua pemain dipilih adalah atas persetujuan bersama jawatankuasa pasukan serta pemilihan pemain Pafa yang turut melibatkan ketua jurulatih. Ini bagi tujuan ‘check and balance.’

“Kemudian, kami tidak melakukan perkara yang tidak masuk akal termasuk membelakangkan ketua jurulatih dengan pergi ke luar negara (London), kononnya untuk mencari pemain import baru ketika tinggal seminggu lagi final Piala Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.

Shahrul Zaman berkata, biarpun menang 5-0 pada separuh akhir pertama, pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Likas Kota Kinabalu difahamkan keempat-empat pemain import sedia ada hampir tidak mahu beraksi.

“Tindakan keempat-empat pemain import berkenaan dipercayai disebabkan pemergian Hasnul Zulkarnain ke London untuk mencari pemain import baru untuk menggantikan mereka.

“Cuba kita letakkan diri kita di tempat mereka, apa agaknya perasaan mereka setelah bertungkus lumus membantu pasukan tetapi presiden pula pergi mencari import baru untuk menggantikan mereka,” katanya.

Menurutnya, Pafa sentiasa cuba membuat keputusan yang terbaik terutama berhubung pengambilan pemain import bagi skuad The Bos Gaurus itu.

Artikel Berkaitan:


“Tapi, Pafa juga terpaksa mengambil risiko tinggi dalam membuat keputusan apabila pemain import yang kita tandatangani akan mendapat kecederaan atau tidak menunjukkan prestasi yang baik.

“Seseorang pemain cedera atau tidak menunjukkan prestasi yang baik kita boleh tamatkan kontrak pemain tetapi penamatan kontrak bermakna kita perlu membayar pampasan secara ‘lump sum’ dan ini pastinya memerlukan jumlah dana yang banyak sekali gus mengganggu ‘cash flow’ Pafa.

Shahrul Zaman berkata, justeru pihaknya mengambil pendekatan untuk berbincang dengan pemain berkenaan yang kemudian bersetuju kontrak tidak ditamatkan namun menerima bayaran bulanan jauh lebih rendah berbanding gaji asal mengikut kontrak yang ditandatangani.

“Dengan cara ini, ia membantu mengurangkan keperluan kewangan berbanding dengan membayar pampasan sekali gus apabila kontrak pemain ditamatkan. Perkara sama juga berlaku kepada pemain tempatan yang masih dibayar gaji walaupun mengalami kecederaan di sepanjang musim,” katanya.

Menurutnya, pemain berkenaan sebenarnya sudah pulih dan mula berlatih bersama rakan sepasukan, namun berdasarkan ketua jurulatih, dia tidak boleh beraksi atau tidak mencapai tahap ‘match fit’ untuk diturunkan dalam perlawanan sebenar.

“Kita tidak mahu bertindak zalim dengan menamatkan kontrak serta-merta terhadap pemain yang tercedera ketika beraksi dan mereka juga bersetuju untuk mengambil potongan hampir separuh gaji di sepanjang musim. Peluang diberikan kepada mereka untuk pulih, kembali berlatih dan seterusnya beraksi bersama pasukan.

“Tetapi mengapa tidak dibangkitkan bagaimana kita istiqamah untuk terus menjaga kebajikan seorang pemain yang digantung selama dua tahun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan akhirnya selepas penggantungan berakhir, dia kembali beraksi dalam kesebelasan utama pasukan dan menjaringkan gol termasuk pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang menyaksikan kebangkitan semula pasukan Perak?” katanya.

Dalam pada itu. Shahrul Zaman turut menyelar dakwaan Hasnul Zulkarnain berhubung kos bagi program pembangunan yang dilakukan pengurusan terdahulu pada 2017 dan 2018 kerana ia tidak tepat .

“Kita mahu sediakan ramai pemain pelapis dengan menyelenggarakan pusat latihan di rancangan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan atau Felcra di Lekir.

“Bagaimana kita boleh menjuarai pingat emas acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) untuk tiga kali berturut-turut? Jawapannya adalah program pembangunan kita yang berterusan,” katanya.

Berhubung dakwaan hutang tiket yang hampir mencecah RM20,000 Shahrul zaman berkata, ia sebenarnya adalah tiket yang diberikan secara percuma di bawah program tanggungjawab korporat sosial Pafa.

“Jika pengurusan yang baru sekarang mahu menganggap pemberian tiket-tiket itu sebagai ‘hutang’ mereka perlu kemukakan invois atau menghantarkan notis tuntutan.

“Bekas Ketua Pemuda Umno Perak, Khairul Shahril Mohamed juga tidak mengetahui perkara berkenaan kerana tidak pernah menerima apa-apa invois atau surat tuntutan,” katanya.

Sementara itu, menurutnya timbul persoalan bagaimanakah rombongan Hasnul Zulkarnain boleh berada tempat duduk VVIP sedangkan keluarga pemain berada di tempat yang tidak begitu strategik iaitu di bahagian paling bawah.

Katanya, ini mengakibatkan keluarga pemain terkena hujan hingga menyebabkan mereka terpaksa berdiri di bahagian tengah ruang stadium sepanjang perlawanan.

“Ada yang mendukung anak sambil memberikan sokongan kepada suami yang beraksi di padang. Ini jelas menunjukkan kegagalan pengurusan Pafa untuk merancang untuk final Piala Malaysia.

“Bermula daripada aspek jemputan sehinggalah ke aspek sambutan kemenangan selepas penantian selama 11 tahun untuk mara ke final Piala Malaysia dan menamatkan penantian untuk muncul Piala Malaysia selama 18 tahun,” katanya.