Anjing liar 'mengamuk', kambing penduduk jadi mangsa

Sebahagian kambing yang mati selepas diserang anjing liar di dalam kandang ternakan.
Sebahagian kambing yang mati selepas diserang anjing liar di dalam kandang ternakan.
A
A
A

IJOK – Sebanyak 12 ekor kambing yang menjadi korban serangan anjing liar di Batu 7, Kampung Ijok, di sini menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

Lebih membahayakan, sekumpulan anjing liar itu menceroboh masuk kandang ternakan milik penduduk meskipun kawasan berpagar sehingga sembilan kambing menjadi mangsa.

Penduduk, Nor Hamazi Abu Kassim, 51, berkata, serangan anjing liar ini disifatkan agresif kerana menceroboh masuk kawasan kandang yang hanya berjarak 100 meter dari rumahnya.

“Mulanya, enam anjing liar bersaiz besar datang menyerang kandang kambing kami sehingga dua ekor daripadanya mati. Masa tu saya masih anggap ia serangan biasa.

“Tapi malam semalam, anjing ini ceroboh masuk semula dan menyerang kambing dalam kandang sampai sembilan ekor mati termasuk anak kambing dan tiga lagi cedera,” katanya yang masih trauma dengan kejadian terbabit.

Nor Hamazi sedih melihat kambing ternakannya mati diserang anjing liar.
Nor Hamazi sedih melihat kambing ternakannya mati diserang anjing liar.

Nor Hamazi yang menternak kambing sebagai hobi tidak menyangka kehadiran anjing liar yang menjadikan kebun penduduk sebagai habitat boleh mengundang insiden seumpama itu.

“Sebelum ini memang ada anjing liar gigit kucing, ayam dan itik, tapi tak sangka sampai ceroboh masuk dalam kawasan berpagar dan mengancam kambing ternakan.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kambing terlepastu saya faham, tapi ini kambing dalam kawasan berpagar. Anjing tu boleh menyelusup masuk dan lompat pagar setinggi 1.2 meter.

“Masalahnya, anjing liar ini menyerang kambing kami lagi petang tadi semasa saya keluar membuat laporan polis...anjing tu seolah-olah tidak takut dengan penduduk.

“Bila anjing serang kambing, anak saudara dan anak cuba halang tapi anjing tu boleh nak serang balik tapi nasib baiklah mereka ada pegang cangkul...jadi beranilah sikit nak halau anjing tu.

“Sampai bila anjing liar ni terbiar dan kacau ternakan kami? Seekor dua kambing mati masih boleh terima tapi ni sampai lapan kambing, kerugian dianggar lebih RM4,000,” katanya yang turut membuat laporan polis.

Hussain (tengah) bersama pegawai khas ADUN Ijok meninjau keadaan hasil ternakan kambing penduduk yang diserang anjing liar.
Hussain (tengah) bersama pegawai khas ADUN Ijok meninjau keadaan hasil ternakan kambing penduduk yang diserang anjing liar.

Sementara itu, Penghulu Mukim Api-Api/Ijok, Hussain Idris menjelaskan, pihaknya turut terkejut apabila dimaklumkan serangan anjing liar itu terhadap ternakan penduduk.

“Saya bimbang anjing liar ini bawa wabak membahayakan dan menyerang penduduk kampung jika tidak berwaspada sebab difahamkan sekumpulan anjing ini bersaiz besar.

“Kami takut kalau anjing tu menyerang budak kecil atau penduduk dan berharap pihak berwajib dapat membantu membasmi haiwan liar ini sebelum insiden buruk berlaku,” katanya.