Mazlan dilantik semula Naib Canselor UMT

- Foto Facebook UMT-Universiti Malaysia Terengganu
- Foto Facebook UMT-Universiti Malaysia Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi tempoh setahun berkuat kuasa hari ini hingga 17 April 2023.

Beliau sebelum ini adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, dilantik sebagai Naib Canselor universiti tersebut oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada 2 Ogos 2021.

UMT dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, selain berpengalaman luas dalam bidang penyelidikan dan inovasi, latar belakang pendidikan berkaitan bidang sains perikanan dimiliki Mazlan adalah seiring dengan bidang tujahan penyelidikan UMT yang bertunjangkan ilmu kelautan dan sumber akuatik.

"Antara pencapaian terbaik beliau ialah mendapat pengiktirafan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP), UMT sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) bagi Teras Penyelidikan dan Inovasi dan mengetuai projek khas Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) hasil kerjasama dengan beberapa buah universiti awam iaitu Ocean Climate Change: Potential Risk, Impact and Adaptation Towards Marine and Coastal Ecosystem Services in Malaysia’ serta mewujudkan kaedah penjanaan dana universiti melalui pengkomersialan harta intelek.

"Sumbangan di peringkat antarabangsa juga antara lain ialah menganggotai beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Ichthyological Society of Japan, Marine Biology Association of United Kingdom, Asean Fisheries Society dan Taiwan Oceanography Society,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Mazlan dalam kenyataan sama berkata, beliau akan meneruskan agenda memperkasakan bidang tujahan utama UMT iaitu sains marin serta berusaha meletakkan UMT sebagai sebuah universiti berfokus yang cemerlang.

Untuk rekod Mazlan adalah Naib Canselor UMT keenam, manakala Naib Canselor pertama bermula 2001 di bawah nama Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM). - Bernama

Artikel Berkaitan: