Kompaun serta-merta jika binatang ternakan berkeliaran

Penguat kuasa MDKS menangkap seekor lembu yang dibiarkan lepas tanpa pengawasan.
Penguat kuasa MDKS menangkap seekor lembu yang dibiarkan lepas tanpa pengawasan.
A
A
A

JERAM – Satu kompaun dikeluarkan serta-merta terhadap pemilik ternakan lembu yang dibiarkan berkeliaran tanpa pengawasan di kawasan laluan awam dan perumahan penduduk di Jalan Mat Shah, di sini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat berkata, satu tangkapan seekor lembu dibuat di bawah Seksyen 4(1) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 dan boleh didenda sehingga RM200.

“MDKS menjalankan operasi pemantauan dan penangkapan lembu yang memasuki kawasan laluan awam dan perumahan di sekitar kawasan Bestari Jaya dan Jeram.

“Operasi ini bertujuan untuk mencegah haiwan peliharaan seperti lembu atau kerbau tidak berkeliaran di kawasan awam dan untuk kebaikan semua pihak terutama pengguna jalan raya,” katanya.

Pihaknya memberi peringatan kepada ternakan kerana MDKS mempunyai kuasa untuk mengurung mana-mana lembu-kerbau yang ditangkap dan disimpan di suatu tempat atas risiko pemunya atau penjaga lembu-kerbau.

“Sehingga belanja bagi tangkapan, kurungan dan memberi makan lembu-kerbau itu dibayar, barulah pemunya atau penjaga boleh menuntut kembali lembu-kerbau itu di bawah Seksyen 4(4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971.

“Seksyen 13 Enakmen yang sama memberikan kuasa kepada MDKS untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah ke atas mana-mana pemunya, penjaga kerana melanggar mana-mana peruntukan di dalam enakmen tersebut,” katanya.

Katanya, MDKS akan meneruskan operasi menangkap haiwan berkeliaran di beberapa kawasan yang mempunyai masalah ini berdasarkan maklumat orang awam yang diterima dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

“Masyarakat juga digalakkan untuk menyalurkan aduan berkaitan perkhidmatan MDKS secara dalam talian di selangor.spab.gov.my atau hubungi talian 03-32891439,” katanya.