Belanja duit KWSP secara berhemah, hati-hati dengan 'scammer'

Gunakan wang KWSP ikut kepentingan dan keperluan yang utama, elak berbelanja perkara yang tidak perlu. - Foto 123RF
Gunakan wang KWSP ikut kepentingan dan keperluan yang utama, elak berbelanja perkara yang tidak perlu. - Foto 123RF
A
A
A

BERITA baik buat pencarumKumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat permohonan pengeluaran khas apabila bayaran akan dikreditkan bermula hari ini, berbanding jadual asal pada 20 April.

Pastinya penerimaan bayaran itu suatu perkara yang ditunggu-tunggu orang ramai bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba pada awal Mei ini.

Bagaimanapun, pengguna yang akan menerima wang KWSP masing-masing hendaklah berbelanja secara berhemah.

Mereka disaran agar menggunakan wang tersebut mengikut kepentingan dan keperluan yang utama, elak daripada menggunakannya kepada perkara yang tidak perlu.

Di samping itu, mereka yang menerima wang KWSP juga hendaklah sentiasa berhati-hati dengan panggilan atau mesej daripada sindiket penipuan atau scammer yang bertujuan mahu memerangkap.

Mana tidaknya, masa inilah scammer ligat menjalankan kegiatan tidak bermoral mereka terutamanya apabila individu-individu yang mengeluarkan wang daripada KWSP adalah ramai.

Apabila mendapat panggilan dan mesej yang mencurigakan, mereka seharusnya berhati-hati dan jangan panik serta membuat pertimbangan yang sewajarnya bagi menghadapinya.

Pada Jumaat, KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima 5.3 juta permohonan bagi pengeluaran khas sejak ia dibuka 1 April sehingga Khamis lalu.

Artikel Berkaitan:

Jumlah permohonan yang diterima merangkumi 44 peratus daripada 11.95 juta ahli yang layak untuk membuat pengeluaran di bawah kemudahan itu.

KWSP memaklumkan, berdasarkan maklum balas daripada ahli yang memohon kemudahan itu, tiga sebab utama permohonan adalah mengalami pengurangan pendapatan iaitu sebanyak 24 peratus, diikuti membantu pasangan atau ahli keluarga yang terjejas kewangan sebanyak 23 peratus dan menambah sumber kewangan dengan 14 peratus.

Sejumlah 40 peratus daripada permohonan pengeluaran itu dibuat adalah bagi menampung perbelanjaan keperluan asas harian dan bulanan, 26 peratus bagi membayar tunggakan hutang dan lapan peratus adalah bagi menambah simpanan dan dana kecemasan.

“Selain itu, ada permohonan yang dibuat bagi membantu ahli keluarga yang terjejas kewangan iaitu tujuh peratus dan selebihnya adalah untuk tujuan-tujuan lain seperti membayar pendidikan anak-anak, perbelanjaan lain dan pelaburan,” kata kenyataan itu.