Rokok seludup bernilai lebih RM3.9 juta dirampas

Mohd Nasir (dua dari kanan) menunjukkan rokok-rokok yang dirampas pada Mac dan April. - Foto Ihsan Kastam
Mohd Nasir (dua dari kanan) menunjukkan rokok-rokok yang dirampas pada Mac dan April. - Foto Ihsan Kastam
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 583 peti mengandungi 5.8 juta batang rokok seludup bernilai lebih RM3.9 juta sepanjang Mac sehingga Khamis lalu.

Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan tersebut dilakukan melalui tiga serbuan oleh pasukan operasi membabitkan tiga daerah iaitu Pasir Mas, Bachok dan Kota Bharu.

Katanya, serbuan pertama dilakukan pada 28 Mac lalu oleh pasukan operasi dari Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang di sebuah rumah teras di Jalan Pasir Pekan, Pasir Mas membabitkan rampasan 265 peti mengandungi 2.7 juta batang rokok seludup.

“Serbuan kedua pada 10 April lalu oleh penguat kuasa Kota Bharu yang berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok seludup dengan merampas 148 peti mengandungi 1.5 juta batang rokok seludup di Kampung Keluat, Tanjung Pauh, Bachok.

“Terbaharu pada Khamis lalu, pasukan Rantau Panjang berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok dan merampas 170 peti mengandungi 1.7 juta batang rokok seludup di Kampung Pantai Mek Mas, Jalan Kuala Besar, Kota Bharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Rokok-rokok seludup yang dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan bermula Mac sehingga Khamis lalu. - Foto Ihsan Kastam
Rokok-rokok seludup yang dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan bermula Mac sehingga Khamis lalu. - Foto Ihsan Kastam

Mohd Nasir berkata, nilai rampasan kesemua rokok seludup tersebut berjumlah RM633,432 yang melibatkan cukai berjumlah RM3,915,631.

“Modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk rokok seludup melalui sempadan negara di Sungai Golok sebelum diedarkan kepada pelanggan tempatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda minimum 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan maksimum 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi.

“Pesalah juga boleh dihukum penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

"Kami menyeru kepada orang awam untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.