Biden dijadual bertemu pemimpin Asean pada Mei

Joe Biden
Joe Biden
A
A
A

PHNOM PENH - Sidang kemuncak Asean dan Amerika Syarikat (AS) dijadual diadakan pada 12 hingga 13 Mei di Washington, menurut kenyataan akhbar Pengerusi Asean yang dikeluarkan pada Sabtu.

Pemimpin Asean dan Presiden Joe Biden akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan cara dan kaedah mempergiat kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk tindak balas Covid-19 dan keselamatan kesihatan global, perubahan iklim, pembangunan mampan, maritim, pembangunan modal insan, pendidikan dan hubungan antara rakyat serta kerjasama ekonomi.

"Pemimpin Asean dan AS akan melakar hala tuju masa depan hubungan Asean-AS dan berusaha untuk meningkatkan lagi perkongsian strategik untuk faedah bersama," menurut kenyataan itu.

Para pemimpin juga akan mengulangi komitmen bersama untuk menegakkan perpaduan dan kepaksian Asean melalui mekanisme sedia ada, serta memupuk kepercayaan serta keyakinan demi mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.

Sidang kemuncak itu pada awalnya dijadualkan pada 28 hingga 29 Mac tetapi ditangguhkan berikutan beberapa pemimpin Asean tidak dapat menyertainya.

Kemboja adalah Pengerusi Asean untuk 2022.

Ditubuhkan pada 1967, Asean dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. - Bernama

Artikel Berkaitan: