Kos pembinaan kemudahan Sukma 2026 RM411 juta

Mustapa. - Foto Bernama
Mustapa. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Jumlah keseluruhan kos bagi pembinaan kemudahan dan fasiliti untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Kelantan bernilai sekitar RM411 juta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, daripada jumlah itu kerajaan telah meluluskan peruntukan RM276 juta bagi pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau di Pasir Puteh, termasuk infrastruktur lain.

"Projek ini belum bermula, namun ia telah memasuki peringkat perancangan yang mantap, termasuk reka bentuk dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat status projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Bilik Gerakan Kompleks Kota Darulnaim di sini, pada Ahad.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Nazran Muhammad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Noor.

Mengulas lanjut Mustapa berkata, pembinaan kemudahan itu akan bermula tahun depan dan dijangka siap tahun 2025.

Penganjuran Sukma 2026 di Kelantan merupakan julung kali diadakan di negeri itu sejak temasya dwi-tahun itu mula diperkenalkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: