Johor beri RM10,000 kepada Myisha juarai Siri Antarabangsa Belanda

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

KERAJAAN Johor akan memberikan ganjaran RM10,000 kepada pemain perseorangan wanita muda negara Myisha Mohd Khairul atas kejayaannya menjuarai Siri Antarabangsa Belanda di Wateringen, Belanda pada Sabtu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau dan seluruh warga Johor turut berasa bangga dan gembira atas kejayaan yang diraih atlet kelahiran Johor Bahru itu.

Beliau berkata, insentif tersebut merupakan penghargaan kepada atlet berusia 20 tahun itu dalam mengharumkan nama negeri serta negara di peringkat antarabangsa.

"Tahniah! Myisha yang saya kenal merupakan seorang atlet yang amat komited dan sentiasa berusaha gigih demi mencapai kejayaan.

"Semoga kemenangan ini turut menyuntik dan membakar semangat atlet-atlet muda Johor yang lain dalam menjulang nama negeri dan negara di persada dunia, " katanya dalam hantaran di laman Facebooknya, pada Ahad.

Myisha merangkul kejayaan itu selepas menghadapi saingan sengit mengatasi rakan senegara, Siti Nurshuhaini Azman 21-19, 18-21, 21-19 dalam aksi final yang berlangsung 70 minit.

Sementara itu, bapa Myisha, Mohd Khairul Hood, 50, ketika dihubungi Bernama berharap agar kejayaan yang diraih oleh anak kedua daripada tiga beradik yang mesra dipanggil Caca itu, akan membakar semangatnya dalam meraih lebih banyak kejayaan, pada masa akan datang.

"Ini merupakan permulaan yang baik kepada Caca yang mula bermain badminton sejak usianya lapan tahun, bagaimanapun masih banyak yang perlu diperbaiki.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, saya berharap agar kejayaan ini menjadikan Caca lebih bersemangat seterusnya berusaha dengan lebih giat untuk mencipta kejayaan demi kejayaan," kata Mohd Khairul yang tinggal di Pasir Gudang.

Ia merupakan gelaran pertama pemain ranking ke-328 dunia itu dalam saingan peringkat senior di pentas antarabangsa dan boleh dianggap tonik terbaik buatnya yang akan beraksi bersama skuad negara dalam saingan Piala Uber di Bangkok, Thailand bermula 8 hingga 15 Mei depan. - Bernama