Debat Najib, Anwar bincang tiga perkara

Fahmi (kanan) dan Isham (kiri) dalam sidang media pada Ahad.
Fahmi (kanan) dan Isham (kiri) dalam sidang media pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI]Debat Perdana antara Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membincangkan tiga bahagian utama pada 12 Mei ini di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil dan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil dalam satu sidang media pada Ahad.

Fahmi berkata, bahagian pertama membabitkan isu permasalahan syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd (SEB).

"Kedua, berhubung 'Masa Depan Malaysia' merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.

"Ketiga, sesi soal jawab," katanya dalam satu sidang media pada Ahad.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, acara tersebut dijangka akan berlangsung selama 2 jam bermula pada 9 malam hingga 11 malam.

Menurutnya, acara tersebut dapat disaksikan secara langsung, sama ada melalui saluran media-media yang akan diumumkan kemudian atau secara fizikal di atas jemputan Anwar dan Najib.

"Kami percaya ramai yang menantikan Debat Perdana ini.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga percaya akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menilai dan meraikan idea, hujah serta pandangan yang berbeza, dalam suasana aman yang mencerminkan budaya berpolitik yang lebih matang," ujarnya.

Dalam pada itu, Isham berkata, dari segi kapasiti, seramai 500 orang pengunjung yang dibenarkan untuk menghadiri acara debat berkenaan.

"Untuk penjarakan sosial, di tingkat bawah (boleh memuatkan) 300 lebih pengunjung manakala, tingkat atas seramai 100 lebih.

"Jadi ada dalam 500 pengunjung. Kami telah bincang bersama, yang jemputan akan dibahagi kepada satu pertiga," ujarnya.

Jelasnya, jemputan satu pertiga itu melibatkan jemputan daripada pihak Anwar, pihak Najib dan tetamu-tetamu kehormat dan rakan media.

"Jadi sesiapa kita akan usahakan pendaftaran media dan juga orang ramai, daripada situ, kalau media bukan sebagai 'partner' (rakan) kita akan (adakan) 'ballot' (cabutan undi).

"Orang ramai pun boleh mendaftar sebab saya percaya ramai yang ingin masuk, jadi kita akan tulis secara 'ballot'," katanya.