Polis cari saksi kes lelaki maut 'ditendang pencuri'

Mangsa dilaporkan meninggal dunia dalam kemalangan terbabit.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia dalam kemalangan terbabit.
A
A
A

BALING- Polis memohon saksi kemalangan maut membabitkan seorang lelaki yang didakwa ditendang pencuri dalam kejadian kejar-mengejar di Kampung Mengkuang Hujung, tampil segera.

Ketua Polis Daerah Baling Superintenden Shamsudin Mamat berkata, setakat ini, tiada saksi kemalangan yang melihat kejadian kira-kira jam 6.30 petang di Jalan Kuala Pegang-Parit Panjang Selasa lalu itu, yang boleh membantu siasatan.

Menurut Shamsudin, hasil temu bual isteri mangsa memaklumkan, kejadian bermula apabila seorang lelaki singgah ke kedai runcit milik mereka sebelum melarikan tiga buah tabung untuk maahad tahfiz.

"Mangsa dikatakan bertindak mengejar suspek namun ditemui meninggal dunia akibat kemalangan, kira-kira 1.9 kilometer dari jarak kedai runcitnya," katanya.

Kejadian tersebut juga tular di media sosial dan mangsa didakwa meninggal dunia akibat ditendang suspek.

Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku akibat terbabas sendiri dan melanggar tiang TNB di sebelah kiri jalan.

Paparan di media sosial yang dimuat naik pengguna Facebook mendakwa mangsa ditendang suspek dalam kejadian itu.
Paparan di media sosial yang dimuat naik pengguna Facebook mendakwa mangsa ditendang suspek dalam kejadian itu.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lebih kurang 500 meter dari tempat kejadian juga menunjukkan tiada pergerakan aksi kejar-mengejar pada hari kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Akibat kemalangan, motosikal didapati remuk di bahagian hadapan manakala mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa di Unit Forensik Hospital Kulim mendapati sebab-sebab kematian mangsa adalah 'Ischemic Heart Disease Due To Coronary Artherosclerosis'," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Polis menyeru mana-mana individu yang menyaksikan kemalangan dan kejadian curi tersebut boleh menghubungi Inspektor Siti Munira Samsudin di talian 017-4853142 atau mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.