Lebih 5 juta pelajar, murid kembali ke sekolah pada Isnin

Mohd Radzi (kanan) beramah mesra dengan murid di SK Seri Ketereh semasa meninjau pengoperasian sekolah tanpa menggunakan sistem penggiliran pada Ahad.
Mohd Radzi (kanan) beramah mesra dengan murid di SK Seri Ketereh semasa meninjau pengoperasian sekolah tanpa menggunakan sistem penggiliran pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 5 juta pelajar dan murid di seluruh negara akan kembali mengikuti pembelajaran bersemuka secara penuh dan seperti biasa mulai Isnin sebagaimana sebelum Covid-19 menyerang negara Mac 2020 lalu.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, perkara tersebut akan menjadi detik bersejarah apabila pengoperasian sekolah secara bersemuka kembali seperti biasa tanpa sistem penggiliran.

"Jumlah besar pelajar dan murid di seluruh negara ialah 5,074,927. Bagi sekolah rendah seramai 2,966,893 dan menengah 2,108,034.

"Dengan sesi bersemuka penuh ini, saya harap semua pihak terutama guru, ibu bapa dan pelajar serta murid supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," katanya selepas meninjau pengoperasian sekolah tanpa menggunakan sistem penggiliran di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh, di sini pada Ahad.

Menurutnya, hal ini bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 berjaya diputuskan dengan sebaik mungkin.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan SOP kekal dipatuhi oleh semua pihak.

Mohd Radzi berkata, seramai 130,000 pelajar dari Kumpulan A melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor memulakan sesi persekolahan pada Ahad secara bersemuka tanpa menggunakan sistem penggiliran.

"Manakala kumpulan B yang akan bermula pada Isnin membabitkan 415,872 murid dan pelajar.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah pengoperasian sekolah secara bersemuka tanpa penggiliran berjalan lancar dan teratur. Hasil tinjauan dan maklum balas pihak sekolah mendapati, semua pihak sama ada guru, ibu bapa serta pelajar masing-masing memberi kerjasama sebaiknya," katanya.