Pertanian tunai pendekatan baharu

A
A
A

ANTARA tajuk yang paling banyak dan kerap saya bincangkan dalam tulisan saya di sini dan di tempat-tempat lain ialah pertanian, khususnya pengeluaran makanan.

Isu ini tidak akan berakhir malah akan sentiasa berkembang dan berubah selagi ada manusia, haiwan, bulan dan matahari kerana selagi ada manusia dan haiwan makanan diperlukan.

Dunia sedang mengalami krisis makanan yang semakin meruncing. Di satu pihak kita mengalami kekurangan makanan sehingga terjadi kebuluran manakala di pihak yang lain pula berlaku kelebihan yang membazirkan.

Adakah kita tahu bahawa semakin ramai petani kecil di negara-negara membangun sedang hilang punca pendapatan kerana kebanjiran hasil pertanian murah dari Amerika dan Eropah? Tidak masuk akal tetapi benar kerana subsidi oleh negara kaya kepada petani mereka.

Kita di Malaysia pun sudah mula merasa kesan krisis makanan ini walaupun tidak seburuk di sesetengah negara kerana kita masih mampu mengimport makanan bagi menampung kekurangan dalam negara.

Namun begitu kita terpaksa membayar harga yang lebih tinggi akibat permintaan dunia yang melebihi bekalan bagi sesetengah jenis makanan. Apabila permintaan melebihi bekalan, harga akan naik. Begitu juga jika kadar tukaran mata wang kita jatuh.

Mungkin belum banyak orang tahu bahawa kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), sejak mengambil alih pemerintahan negara 10 bulan lalu, telah mula merancang dan mengambil langkah radikal bagi merombak pertanian negara, khususnya yang membabitkan pengeluaran makanan.

Ini adalah langkah menyeluruh bagi mengatasi masalah harga dan bekalan makanan dan pada masa sama menangani masalah pendapatan petani, khususnya yang bergantung kepada padi, getah dan kelapa sawit.

Artikel Berkaitan:

Kita tahu sejak dari awal lagi bahawa penanaman padi, Kelapa sawit dan getah, termasuklah di tanah rancangan, tidak lagi menjamin pendapatan yang mencukupi bagi keluarga tani.

Kerajaan cuba mengatasi ketidakcukupan pendapatan ini dengan memperkenalkan pelbagai bentuk subsidi dan bantuan kewangan tetapi tidak pernah mencukupi.

Ambil contoh menanam padi yang mendapat subsidi baja dan subsidi harga padi sejak pertengahan tahun 1970-an. Mereka tetap miskin. November lalu kerajaan menaikkan subsidi harga padi daripada RM300 satu tan kepada RM360.

Kenaikan seperti itu membantu petani daripada segi pendapatan tetapi tidak semestinya di segi pengeluaran kerana amalan pertanian yang semakin tidak produktif dan infrastruktur pengairan yang tidak lengkap.

Ini ditambah pula oleh perubahan demografi dalam kalangan pesawah di mana banyak petani asal tidak ada lagi atau terlalu uzur untuk turun ke sawah.

Ini menyebabkan sebahagian besar sawah dipajak dan dikerjakan oleh buruh asing. Dalam erti kata lain, pesawah yang miskin berkongsi kemiskinan dengan buruh asing yang lari daripada kemiskinan di negara masing-masing.

Sementara itu, amalan padi kunca yang sudah pun begitu lama diamalkan menjadi semakin luas. Kesannya ialah manakala pemilikan sawah di tangan oleh orang Melayu tetapi pemilikan ekonomi adalah di tangan orang bukan Melayu, khususnya Cina.

Kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dulu mereka buat bendang guna kerbau. Mereka ada kerbau. Sekarang mereka guna traktor. Tapi traktor bukan milik mereka. Mereka sewa.

Selain itu, akibat subsidi kepada petani harga beras dalam negara lazimnya lebih tinggi berbanding harga antarabangsa sedangkan sudah beberapa tahun dunia mengalami lebihan pengeluaran beras.

Pendekatan kerajaan PH ialah petani tidak lagi boleh bergantung kepada satu jenis tanaman. Mereka perlu mengubah sebahagian tanah mereka kepada tanaman jangka pendek yang mudah ditukar ganti bergantung kepada keadaan cuaca, kesesuaian tanah dan permintaan pasaran.

Ironinya, peneroka idea tanaman campuran secara sistematik, saintifik dan komersial ini adalah Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin. Hal ini tercetus setelah beliau mendengar banyak pandangan dan berkongsi maklumat dengan orang ramai semasa 100 hari tempoh tugas majlis tersebut.

Dr Mahathir pun turut melawat projek-projek seperti itu yang sedia ada dan kini yakin bahawa sistem pelbagai tanaman – termasuk ternakan – perlu dilaksanakan secara besar-besaran.

Secara peribadi, berlandaskan pengalaman sebagai anak pesawah dari Kedah, saya awal lagi memberi amaran mengenai ketidaklestarian kegiatan ekonomi pertanian kerana terlalu bergantung kepada kebiasaan dan bukan kepada pasaran.

Saya juga komited kepada pendapat bahawa kesejahteraan sesebuah negara bermula dengan kecukupan makanan pada kadar harga yang termampu oleh majoriti rakyat jelata.

Daripada apa yang saya lihat sendiri selama ini dan yang baru-baru ini saya dengar daripada Dr Mahathir, Daim dan rakan-rakan di agensi pertanian seperti Mardi, saya yakin pertanian campuran ini boleh memberi pendapatan tambahan kepada petani, mengurangkan pergantungan kepada makanan import dan memperbaiki kesuburan tanah.

Syaratnya pendekatan baharu ini hendaklah holistik dan berpaksikan permintaan pasaran di mana khidmat pengembangan (extension services) merupakan faktor penentu kerana petani perlu diberikan ilmu dan pengetahuan baharu untuk berubah daripada cara tradisional kepada moden.

Dan jangan sekali-kali macam lepas-lepas iaitu sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara