X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Bantu Keluarga Malaysia miliki rumah

Keluarga Malaysia yang terdiri daripada hierarki pendapatan bermula golongan B40, M40 dan T20 berhak memiliki rumah sendiri sejajar dengan objektif perdana RMK12 menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan kemakmuran negara diagih secara saksama. - Gambar hiasan
A
A
PELAN pembangunan nasional lima tahun negara iaitu Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bertempoh dari tahun 2021 hingga 2025 kini dalam fasa menunaikan janji melaksanakan variasi agenda sedia membantu Keluarga Malaysia mampu memiliki kediaman idaman mereka.

Keluarga Malaysia yang terdiri daripada hierarki pendapatan bermula golongan B40, M40 dan T20 berhak memiliki rumah sendiri sejajar dengan objektif perdana RMK12 menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan kemakmuran negara diagih secara saksama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah mengumumkan Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan merangka strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.

Strategi itu akan dilaksanakan sepanjang tempoh RMK12 membabitkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju perumahan swasta, sekali gus selaras dengan matlamat Satu Keluarga Satu Rumah.

Akhbar harian Tamil, Makkal Osai melaporkan pada tahun 2021, sebanyak 36,683 unit kediaman membabitkan nilai kos RM22.79 bilion tidak terjual kepada orang ramai dan masih berada dalam pasaran hartanah tempatan.

Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara mengesahkan angka tersebut manakala pada tahun 2020 pula kira-kira 29,565 unit kediaman juga tidak terjual.

Pusat itu merekodkan peratusan kenaikan rumah tidak terjual menunjukkan peningkatan sebanyak 24.1 peratus pada tahun 2021 berbanding 2020.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah (HBA), Datuk Chang Kim Loong, isu lambakan unit kediaman tidak terjual khususnya disebabkan harga pasaran rumah jauh lebih mahal berbanding kemampuan golongan B40 dan M40.

Seterusnya, lokasi pembinaan projek perumahan baharu pula kurang strategik dan tidak mematuhi dengan kehendak orang ramai.

Sementara itu, Makkal Osai menyatakan isu lambakan unit kediaman tidak terjual berlaku misalnya harga pasaran rumah tersebut RM300,000 tetapi projek perumahan itu dibina di lokasi bukan tumpuan golongan berpendapatan rendah menyebabkan kesemua unit tersebut tidak dapat dijual kepada kumpulan sasaran.

Ironinya, projek perumahan bertaraf mewah dengan harga pasaran bermula RM500,000 pula menerima tempias serupa disebabkan kelangsungan hidup dan kestabilan ekonomi masih dalam fasa pemulihan menjadi halangan kepada golongan M40 dan T20 untuk membeli rumah-rumah berkenaan.

Sebab itu, kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju perumahan swasta wajar mengambil langkah terbaik untuk membina projek perumahan menawarkan harga pasaran yang mampu dimiliki rakyat jelata.

Kos bahan binaan seperti besi dan keluli yang semakin meningkat dalam industri pembinaan juga menjadi penyebab kepada ketidakmampuan harga pasaran rumah, justeru pihak kerajaan perlu mengorak strategi untuk menstabilkan kenaikan harga bahan binaan.

Akhbar harian itu berkata, isu lambakan unit kediaman tidak terjual itu dapat diselesaikan dengan pihak kerajaan dan pemaju hartanah memperkenalkan pelan sewa dahulu, beli kemudian.

Pelan seumpama itu dapat menarik lebih ramai pembeli yang masih belum mampu membeli rumah sendiri untuk menyewa unit kediaman masih tidak terjual sebelum membuat keputusan untuk memilikinya.

Pemaju hartanah juga harus memberi peluang kepada semua golongan pembeli menyertai pelan tersebut supaya unit-unit rumah yang menghadapi masalah tidak terjual dapat ditangani segera.

Selain isu lambakan unit kediaman tidak terjual yang agak serius di pasaran hartanah tempatan diselesaikan, pada masa yang sama matlamat kerajaan ‘Satu Keluarga Satu Rumah' dapat direalisasikan dalam tempoh RMK12 ini.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!