Perginya seorang kritikawan

Ramli Isin
Ramli Isin
A
A
A

TANGGAL 6 Mac 2022 akan dikenang sebagai hari kesedihan bagi dunia kritikan sastera Melayu, justeru berpulangnya ke negeri abadi seorang tokoh kritikawan tersohor, Ramli Isin@Sahari.

Dekad 1970-an, Ramli Isin adalah salah seorang persona yang mengisi kekosongan kritikan yang ditinggalkan oleh kritikan Yahaya Ismail, yang suatu masa dahulu mendominasi di akhbar dan majalah tanah air.

Genre kritikannya ialah cerpen, beliau lebih bersifat legislatif iaitu memberi pengajaran dan bimbingan kepada para penulis untuk memperbaiki mutu penulisan.

Ramli Isin sangat mahir dalam aspek struktural, teknik dan pembinaan teks sastera.

Dilahirkan pada 30 Mac 1939 di Kampung Seliau, Seremban, Negeri Sembilan.

Pendidikan pertamanya di Sekolah Melayu Seliau, berpindah ke Sekolah Menengah Seremban, kemudian memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris.

Tahun 1962 mula menjadi guru dengan mengajar di Sekolah Kebangsaan Johol, Negeri Sembilan.

Beliau terus belajar meningkatkan dirinya dengan memasuki Universiti Gadjah Mada pada tahun 1968, dan telah lulus dengan mendapat ijazah sarjana.

Artikel Berkaitan:

Sekembalinya ke tanah air bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kemudian menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Di sinilah beliau melengkapkan pengajian kesarjanaan sasteranya dengan memperolehi ijazah kedoktoran meneliti teks-teks sastera moden dengan teori strukturalisme genetik.

Sewaktu belajar di Indonesia, Ramli sudah menulis esei dan kritikan sastera, yang banyak menulis tentang sastera Indonesia untuk pengetahuan khalayak Malaysia.

Bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, banyak berkenalan dengan pengkritik dan sasterawan tanah air, beliau semakin aktif menulis esei dan kritikan.

Genre novel dan puisi juga pernah mendapat sentuhannya.

Menelaah puisi Suhaimi Haji Muhammad, dianggapnya sebagai penyair yang mendahului zaman dalam mengaplikasi kepelbagaian teknik.

Penyair itu menjadi cukup istimewa kerana kemahirannya itu, menjadikan puisinya cukup bertenaga dan bererti.

Dalam sebuah kata pengantar Chorus Manusia Pengungsi (1976), Ramli menegaskan, Suhaimi Haji Muhammad juga suka bereksprimen dan mencuba sesuatu yang baru.

Dengan yang demikian karyanya segar dan menarik.

Perubahan

Ramli sebenarnya sangat menghargai perubahan, dan sangat menghormati teks eksprimental.

Dekad 1970-an adalah zaman surealisme, yang menggantikan realisme.

Saya masih ingat sewaktu saya memulakan cerpen-cerpen absurdisme – eksistensialisme, Ramlilah orang yang pertama menerima percubaan itu.

Ini sebenarnya ada hubungannya dengan tesis sarjana yang dilakukannya di Indonesia. Antara lain beliau membuat kajian teks-teks yang beraliran surealisme di Indonesia.

Ramli sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan teori formalistik yang begitu sinonim dengan kritikannya.

Formalistik di tangan Yahaya Ismail bersifat popular, tetapi di tangan Hashim Awang mengalami unsur akademik, sesuai untuk kajian di yayasan pengajian tinggi.

Ramli kelihatannya berada di tengah-tengah antara Yahaya Ismail dan Hashim Awang itu.

Suatu hal yang menarik Ramli terus menerus kritikan. Yahaya Ismail sudah lama bersara.

Hashim Awang pula tidak banyak melakukan kritikan praktikal, ia lebih banyak menulis esei dan buku kajian, malah di dekad 1980-an dan 1990-an Ramli masih menulis dan aktif.

Dekad-dekad ini kritikan sastera Melayu telah mencapai kematangannya; maka tidak syak lagi antaranya ialah sumbangan daripada Ramli sendiri.

Dekad 1980-an beliau mula mengaplikasi teori sosiologi. Kritikannya banyak menumpukan kepada masyarakat kota dan desa, lebih menekankan aspek tekstualiti teks dan kontekstualitinya.

Ramli menekankan situasi kehidupan yang bobrok di kota dan kemaharajalelaan kemiskinan di desa.

Pengkritik ini amat sedar tanggungjawab yang harus dipikul oleh pengarang untuk menyedarkan masyarakatnya, dan sastera menjadi alat untuk perubahan hidup.

Sosiologi yang dipegang oleh Ramli adalah sangat komited dengan khalayaknya, dan berbeza dengan kritikan Asas 50 sebelumnya atau dengan Kassim Ahmad sendiri.

Pada tahun 1980-an itu juga, Ramli telah menyiapkan tesis kedoktorannya, yang menggunakan teori strukturalisme genetik oleh Lucien Goldmann. Teori ini dalam kelompok teori Marxisme iaitu yang beraliran sosiologisme.

Ramli pernah ikut serta dalam sebuah polemik antara Yahaya Ismail dengn Shahnon Ahmad, mengenai konsep estetika karya.

Yahaya Ismail terlalu kebaratan dan menggunakan teori dan nilai Barat.

Shahnon Ahmad tidak menyenangi amalan Yahaya Ismail itu; kemudiannya mencetuskan sebuah polemik yang kompleks sastera antara Shahnon Ahmad - Yahaya Ismail.

Di tengah-tengah polemik itulah Ramli mengambil jalan tengah; kritikan haruslah berteraskan akar umbi tradisi Melayu dan kriteria yang dipegang haruslah juga bersandarkan nilai, budaya dan sejarah dan ukuran Melayu.

Akhirnya polemik Yahaya - Shahnon itu berakhir dengan pandangan jalan tengah yang diberikan oleh Ramli Isin itu.

Bahasa

Kekuatannya sebagai pengkritik terletak pada aplikasi bahasa yang cukup sederhana, terang dan jelas. Dengan itu jalan fikirannya mudah diikuti.

Ramli terkenal dengan tidak suka menggunakan bahasa yang bombastik, jargon atau menerapkan kata-kata yang besar bunyinya.

Kesederhanaan Ramli ini sangat menyenangkan masyarakat sastera.

Kritikannya menjadi popular dan diikuti.

Meninggalkan beratus-ratus esei dan kritikan serta sebarisan buku kajian sastera.

Antaranya yang terpenting ialah Riak dan Gelombang Sastera Melayu (1987), Novel Melayu Mutakhir: Tema dan Persoalan Karya (1997) dan Perkembangan Novel Melayu Moden 1940-1969 Satu Analisis (1998).

Dua buah antologi cerpen Hari Kemerdekaan bersama Sahlan Mohd Saman (1987) dan Kelapa Nan Sebatang bersama Razak Mamat (1990) menjadi teks cerpen untuk kertas mata pelajaran Kesusasteraan Melayu.

Namanya diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan dan hasil kajian Pusat Pengajian Tinggi sebagai 10 pengkritik wibawa Malaysia, iaitu Asraf, Hamzah Hussein, Kassim Ahmad, Yahaya Ismail, Hashim Awang, Shahnon Ahmad, Mana Sikana, Rahman Shaari, Ramli Isin dan Mohd Yusof Hassan.

Begitulah Ramli, kritikannya yang sangat konsisten, teratur, sistematis dan relevan dengan suasana dan kondisi sastera tanah air.

Penulis yang baru menulis diajarnya, yang lama diberinya nasihat, dan beliau terlalu cermat dalam memberi penilaian.

Setiap kritikan dan pujian yang diberikannya mempunyai alasan dan hujahan. Disenangi oleh ramai penulis.

Ramli adalah contoh pengkritik yang berwibawa, mapan dan sangat dihormati. Al-Fatihah.

*Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia