Program Desa Tanpa Tunai perlu sokongan semua pihak

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan meyempurnakan pelancaran kebun nutrisi Bank Rakyat pada program 'Santai Namun Sampai Ramadan 2022' anjuran Bank Rakyat di Kampung Warna Warni Seberang Ramai, pada Sabtu. Foto Bernama
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan meyempurnakan pelancaran kebun nutrisi Bank Rakyat pada program 'Santai Namun Sampai Ramadan 2022' anjuran Bank Rakyat di Kampung Warna Warni Seberang Ramai, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA PERLIS - Program Desa Tanpa Tunai hasil inisiatif Bank Rakyat memerlukan sokongan semua pihak bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah program itu adalah satu usaha yang wajar dilaksana berdasarkan keperluan semasa dan perubahan norma baharu dalam kalangan masyarakat berikutan aktiviti pembelian dalam talian serta transaksi tanpa tunai yang semakin meningkat.

"Program Desa Tanpa Tunai ini juga adalah bertepatan dengan pelaksanaan Projek Diraja Program Transformasi Kampung Nelayan Seberang Ramai di sini yang diinisiatifkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis bagi mengangkat kawasan kampung nelayan menjadi destinasi pelancongan baharu yang berpotensi untuk dikembangkan," titah baginda pada Program Santai Namun Sampai Ramadan 2022 di Kampung Warna Warni Seberang Ramai pada Sabtu.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Suriani Datuk Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin juga bertitah penganjuran program itu jelas menunjukkan Bank Rakyat adalah sebuah institusi perbankan yang sentiasa komited dalam menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat menerusi pelbagai aktiviti keusahawanan.

"Justeru, Beta merakamkan penghargaan kepada Bank Rakyat dan MAIPs atas inisiatif kerjasama menerusi program ini bagi menyantuni golongan usahawan dan asnaf di negeri ini," titah baginda.

Suriani pula berkata, Bank Rakyat turut melancarkan inisiatif Kebun Nuri Nutrisi dalam program itu bagi membantu golongan B40 menjana pendapatan secara lestari dan berterusan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sumbangan kit makanan bernilai RM29,600 turut diserahkan kepada golongan asnaf di Perlis melibatkan dua lokasi iaitu Masjid Ameer Fawwaz di Simpang Empat dan Masjid Al-Abrar di Kubang Gajah.

"Bank Rakyat juga memberikan sumbangan sebanyak RM24,800 kepada golongan asnaf di Felda Chuping, RM3,700 kepada pelajar asnaf Sekolah Kebangsaan LKTP di Chuping, RM2,500 kepada pelajar asnaf Sekolah Rendah Islam III dan sumbangan bagi aktiviti pengimarahan Masjid Nurul Huda di Felda Chuping sebanyak RM10,000.

"Bank Rakyat turut menyediakan tiket pulang ke kampung kepada 50 penuntut B40 di Universiti Malaysia Perlis bersempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya. - Bernama