13 termasuk lima warga asing ditahan mengemis di Kota Bharu

Pasar Besar Siti Khadijah. - Gambar hiasan
Pasar Besar Siti Khadijah. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga belas pengemis termasuk lima warga asing ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama Jabatan Imigresen dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), pada Sabtu.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JKM Negeri, Mohamad Md Nor berkata, kesemua mereka yang berusia antara 11 hingga 75 tahun itu ditahan ketika operasi dijalankan di kawasan sekitar hadapan bank, Dataran Muhammmadi, Pasar Siti Khadijah dan Taman Hijau, di sini, mulai sejak 8.30 pagi hingga 1.30 petang tadi.

Katanya, operasi itu dijalankan bagi membanteras kegiatan mengemis di bulan Ramadan yang dilihat menjadi aktiviti "tahunan" kepada kumpulan ini dan lebih menghairankan sesetengah daripada mereka yang ditahan ini merupakan penerima bantuan bulanan daripada JKM.

"Rata-rata mereka ini berasal dari jajahan seperti Tumpat, Pasir Puteh dan Pasir Mas yang datang ke Kota Bharu dengan menggunakan teksi.

Malah bagi golongan warga emas yang tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) pula, kebiasaannya mereka akan datang pada waktu pagi dan pulang pada sebelah petang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di JKM Negeri di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, bagi warga tempatan yang ditahan, mereka diminta supaya menandatangani Surat Aku Janji dan dihalang untuk berbuat demikian lagi, manakala bagi warga asing dari Thailand, Kemboja dan Myanmar yang ditahan pula mereka dikenakan tindakan menerusi Akta Imigresen sebaik diserahkan kepada jabatan berkenaan.

"Sekiranya mereka (warga tempatan) melanggar Surat Aku Janji tersebut mereka akan dihantar ke Rumah Seri Kenangan (rumah orang tua) dekat Taman Kemumin di Pengkalan Chepa untuk tempoh selama 14 hari.

Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan mengemis terutamanya pada bulan Ramadan,” katanya yang menambah pihaknya belum dapat mengesan sama ada kesemua pengemis yang ditahan itu merupakan mangsa kepada sindiket atau sebaliknya. - Bernama

Artikel Berkaitan: