Ketua PBB gesa perdamaian di Baitulmaqdis

Antonio Guterres. - Foto EPA
Antonio Guterres. - Foto EPA
A
A
A

NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Jumaat menyuarakan kebimbangan mengenai situasi keselamatan yang semakin merosot di Baitulmaqdis dan menggesa pihak berkaitan meredakan ketegangan, kata jurucakapnya.

Pertempuran meletus antara tentera Israel dan rakyat Palestin di pekarangan masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis pada Jumaat, mengakibatkan lebih 100 orang cedera, lapor Agensi Berita Xinhua.

"Setiausaha agung menyeru para pemimpin dua pihak membantu menenangkan keadaan.

"Provokasi di tapak suci itu, mesti dihentikan bagi mengelakkan ketegangan lebih parah,” kata jurucakap Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Guterres mengulangi gesaannya agar status quo di tapak suci di Baitulmaqdis ditegakkan dan dihormati.

Penyelaras Khas PBB untuk Proses Keamanan Timur Tengah Tor Wennesland kini sedang berhubung rapat dengan pihak berkepentingan bagi menenangkan keadaan.

Guterres mengulangi komitmennya menyokong rakyat Palestin dan Israel menyelesaikan konflik berdasarkan resolusi PBB berkaitan, undang-undang antarabangsa dan perjanjian dua hala, menurut kenyataan itu.

Ketegangan antara Israel dan Palestin memuncak di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sejak tiga minggu lalu ketika perayaan Easter serentak dengan Ramadan. - Bernama

Artikel Berkaitan: