Benarkah penjawat awam terlalu ramai?

A
A
A

ISU mengenai usaha mengurangkan jumlah penjawat awam bukanlah perkara baharu. Sudah lebih 30 tahun perkara ini ditampilkan, namun muncul kembali baru-baru ini.

Di pihak atasan dan barisan Kabinet mengatakan bahawa jumlah penjawat awam masa kini terlalu ramai. Manakala pelaksana dasar dan penjawat awam di bawah khususnya di negeri dan daerah mengatakan perlu ditambah kerana banyak jawatan tidak diisi sebab anggota berpencen atau tidak ada peruntukan.

Tun Dr Mahathir berpendapat jumlah penjawat awam yang dimiliki kerajaan ketika ini adalah terlalu besar dan perlu dikurangkan. Perdana Menteri memberitahu jumlah terkini penjawat awam adalah 1.7 juta dan telah meningkat dengan mendadak sejak beliau meninggalkan pentadbiran negara pada tahun 2003.

Bagi beliau, saiz pentadbiran di Malaysia terlalu besar. Malahan dengan menggunakan teknologi maklumat, komputer dan sebagainya kita boleh kurangkan saiz ini.

Apa punca sebenar? Adakah kerana dikatakan bayaran untuk gaji dan upah penjawat awam dikatakan tinggi, atau kerana alasan yang lain. Adakah penjawat awam sekarang terlau ramai?

Sewaktu Wacana Sinar anjuran bersama Majlis Profesor Negara (MPN), beberapa sudut pandangan telah dikemukakan. Bagi Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda, saiz penjawat awam di negara ini masih kurang dan perlu ditambah.

Menurut beliau, jika kita bandingkan dengan rasio atau nisbah penduduk Malaysia sekitar 32 juta orang masa kini, nisbah penjawat awam dalam sekitar 1 nisbah 21 orang rakyat. Jika dibandingkan sebagai contoh 1 nisbah 12 bagi New Zealand ia masih jauh daripada diperlukan. Namun masa kini dengan kemasukan pendatang dan pekerja serta pelancongan nisbahnya meningkat kepada 1 nisbah 40.

Namun jika dibandingkan nisbah doktor dengan pesakit, nisbah guru dengan anak murid dan nisbah polis dengan rakyat, menunjukkan kita masih perlu menambah atau mengekalkan jumlah penjawat awam sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Menurut CUEPACS, sesetengah jawatan sudah tidak lagi diisi atau diganti apabila penjawat awam berpencen. Malahan banyak sektor memerlukan penambahan penjawat awam tapi tidak dipenuhi dengan pelbagai alasan. Kenapa pula dikatakan penjawat awam di Malaysia terlalu ramai?

CUEPACS mendakwa bahawa ramai penjawat awam yang menanggung kerja penjawat lain. Lawatan CUEPACS berjumpa staf di bawah mengatakan mereka tertekan, hilang tumpuan, kemurungan yang serius.

Maka apabila usaha untuk mengurangkan penjawat awam cukup memeranjatkan golongnan ini. Bagi mereka adakah pihak kerajaan mengetahui perkara sebenar mengenai kekurangan kakitangan kerajaan di banyak peringkat.

Perubahan daripada dasar berasaskan pertanian kepada revolusi industri membawa transformasi perkhidmatan awam. Perubahan ini juga memerlukan penelitian di semua peringkat. Mungkin di peringkat ibu pejabat dan negeri semuanya serba canggih dan wujudnya ICT dalam perkhidmatan.

Namun masih banyak lagi perlu diberikan perhatian di peringkat daerah dan cawangan yang memerlukan tenaga dan sumber manusia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Raduan Che Ros, mengatakan kos membiayai perkhidmatan awam sekitar 3.5 peratus atau 99.5 bilion daripada bajet dalam belanjawan untuk bayar gaji dan upah. Walaupun ia kelihatan tinggi, namun sumbangan penjawat awam tidak boleh dinafikan.

Beberapa kementerian menjadi sumber pendapatan utama negara seperti Kastam dan yang lain. Namun penjawat awam tidak boleh dilihat sebagai entiti sumber pendapatan semata-mata. Perkhidmatan awam seperti keselamatan iaitu tentera, polis dan anggota keselamatan lainnya menyumbang kepada keamanan dan keselesaan hidup yang mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Begitu juga perkhidmatan pendidikan. Guru dan pensyarah menjadi nadi serta pelaburan masa depan anak-anak dalam pelajaran. Tidak mungkin untuk dinilai berapa banyak sumber wang yang diperoleh untuk negara.

Begitu juga perkhidmatan kesihatan khususnya doktor dan ortopedik yang telah menyelamatkan nyawa dan penjagaan kesihatan rakyat. Selain perkhidmatan sokongan seperti kerani, juru teknik yang juga banyak sumbangan untuk melicinkan perjalanan perkhidmatan.

Maka tidak adil hanya kerana mereka kelihatan ramai dikatakan telah menyebabkan perlunya kos membayar gaji dan upah yang tinggi. Sedangkan perkhidmatan awam amat diperlukan untuk memacu ekonomi negara.

Namun menyalahkan mereka kerana kerajaan terpaksa menanggung belanja yang tinggi untuk membayar gaji dan upah juga dianggap kurang wajar. Seolah-olah sumbangan penjawat awam tidak dihargai. Bagi sesetengah negara seperti United Kingdom dan negara Scandinavia mengasingkan perkhidmatan guru, tentera, polis, dan kesihatan tidak digolongkan sebagai penjawat awam. Ini kerana pekhidmatan mereka bukan berasaskan keuntungan tetapi lebih kepada perkhidmatan.

Namun Raduan bersetuju untuk melihat kembali persoalan produktiviti dalam kalangan penjawat awam. Jika persoalan produktiviti menjadi punca pengurangan penjawat awam ada rasionalnya. Sebagai contoh beberapa jawatan perlu diguna sama. Pengurusan dan perkhidmatan sekarang lebih kepada multi-skilling. Penjawat awam kini perlu menguasai pelbagai kemahiran yang berkenaan kerja atau tugas. Jika itu punca cadangan pengurangan penjawat awam, dek ketidakkecekapan atau kurang produktif, maka ada rasionalnya.

Bagi mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Tan Sri Zulkefli A Hassan, pelaksanaan proses rasionalisasi saiz perkhidmatan awam oleh kerajaan hanya membabitkan perjawatan yang tidak diisi dan tidak digunakan bagi tempoh melebihi dua tahun.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), proses itu juga adalah kesinambungan daripada usaha merasionalisasikan saiz perkhidmatan awam yang mula diperkenalkan sejak 2008. Inisiatif kawalan saiz perkhidmatan awam dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam pada 23 Oktober 2018 yang dipengerusikan oleh mantan perdana menteri bukanlah perkara baharu.

Ia bermula dengan pengurangan perjawatan di kementerian dan agensi kerajaan sebanyak satu peratus pada 2019. Perkara itu selaras dengan dasar baharu kerajaan untuk mengecilkan perkhidmatan awam bagi mengelakkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan.

Dalam pada itu, JPA menjelaskan, kaedah bagi pelaksanaan pengurangan perjawatan itu tidak membabitkan penjawat awam sedia ada tetapi melalui pelbagai kaedah lain.

Antaranya mengoptimumkan sumber manusia, penyusunan semula perjawatan bagi mengelakkan pertindihan fungsi, serah urus fungsi, penyampaian perkhidmatan alternatif, gabungan teknologi dan pengisian jawatan secara berhemah mengikut keperluan semasa.

Justeru, usaha ini adalah berpaksikan kepada produktiviti dan penggunaan sumber manusia secara cekap dan optimum dalam perkhidmatan awam.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM