Tiga kes kematian letupan gas selesai dibedah siasat

Anggota Bomba dan Penyelamat Sarawak menggunakan anjing pengesan untuk menyiasat punca letupan di pusat membeli- belah CityOne Megamall hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUCHING - Kesemua tiga kes kematian akibat kejadian letupan gas di CityOne Megamall di sini semalam, selesai dibedah siasat.

Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Jamilah Hashim berkata dua daripada mayat mangsa, O Kui Lim, 49, dan Tchee Kiam Jong, 24, dari sini telah pun diserahkan kepada waris masing-masing hari ini.

Sementara, kes terakhir melibatkan mayat Chin Hsien Loong, 29, dari Butterworth, Pulau Pinang dijangka dihantar pulang esok.

"Jabatan ini ingin merakamkan simpati ke atas mangsa terlibat dan keluarga yang mengalami kehilangan anggota keluarga mereka.

“Semoga diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi situasi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata susulan kejadian bangunan runtuh di premis tersebut petang semalam, dipercayai berpunca daripada letupan gas di sebuah kedai yang sedang diubah suai, jumlah keseluruhan mangsa terlibat adalah 44 orang, termasuk tiga maut.

Seramai 20 daripada 30 mangsa yang diberikan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, masih menerima rawatan dan keadaan mereka stabil, kata Dr Jamilah.

Sementara, sembilan mangsa diberi rawatan di Pusat Perubatan Borneo (BMC), Kuching dan dua mangsa di Pusat Perubatan Timberland (TMC), Kuching.

"Daripada kesemua 41 mangsa diberikan rawatan, terdapat mangsa mengalami luka terbakar pelbagai tahap termasuk luka terbakar teruk dengan gangguan pernafasan, patah tulang, kecederaan pada tisu dan otot, luka-luka serta sesak nafas," katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia