Niat mahu bawa pulang orang utan tak kesampaian

Anak orang utan itu dipercayai diberikan ubat untuk memastikannya tidur.
A
A

DENPASAR - INDONESIA. Seorang pelancong Rusia diberkas di Bali selepas dia didakwa cuba menyeludup keluar orang utan yang disembunyikan dalam beg pakaiannya, menurut polis, hari ini.

Penahanan Andrei Zhestkov, 27, dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Denpasar pada lewat semalam ketika dia melalui pemeriksaan keselamatan untuk menaiki penerbangan pulang ke Moscow.

Pihak berkuasa yang curiga melakukan pemeriksaan terhadap Zhestkov terkejut selepas menemui anak orang utan berusia dua tahun sedang tidur dalam sebuah bakul rotan di dalam beg pakaiannya.

"Kami percaya haiwan itu diberi sejenis ubat untuk memastikan ia tidur. Dia telah melakukan persediaan rapi untuk membawa keluar anak orang utan tersebut termasuk menyediakan susu formula dan selimut," kata pegawai agensi pemuliharaan Bali, I Ketut Catur Marbawa.

Selain itu, polis turut menjumpai dua tokek dan lima cicak dalam beg tersebut.

Menurut Zhestkov, spesies dilindungi itu adalah pemberian rakan senegaranya yang membeli haiwan itu pada harga AS$3,000 (RM12,193) di sebuah pasar di Jawa.

Jelasnya, rakannya yang telah meninggalkan Indonesia yakin ia boleh membawa pulang orang utan itu sebagai haiwan peliharaan.

Jika disabit bersalah, Zhestkov boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda AS$7,000 (RM28,451) kerana menyeludup. - AFP