Puteri Thai hadir majlis kahwin anak Thaksin

Thaksin menyambut ketibaan Puteri Ubolratana di pekarangan Hotel Rosewood di Hong Kong.
A
A

HONG KONG - Kakak kepada Raja Thailand, Maha Vajiralongkornyang menggemparkan negara itu atas pencalonannya dalam pilihan raya Thailand menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra di Hong Kong, semalam.

Puteri Ubolratana, 67, yang memakai gaun berwarna merah jambu disambut Thaksin dan keluarganya di Hotel Rosewood.

Thaksin yang tiba dua jam awal di lokasi majlis perkahwinan anak perempuan bongsunya, Paetongtarn turut kelihatan segak dalam sut hitam.

"Saya gembira," katanya kepada petugas media yang berada di majlis itu.

Ketika ditanya siapa yang akan memenangi pilihan raya, beliau hanya menjawab, 'Saya tidak tahu'.

Rakyat Thailand akan mengundi esok dalam pilihan raya pertama di negara itu dalam tempoh lapan tahun.

Sebelum ini, keputusan Puteri Ubolratana mahu bertanding jawatan perdana menteri di bawah parti yang dikaitkan dengan Thaksin telah dihalang adiknya kerana didakwa tidak sesuai dan melanggar Perlembagaan. - Agensi