Jangan keluar kenyataan ganggu inkues Adib: Zuraida

Zuraida Kamaruddin
A
A

ALOR SETAR - Orang awam dinasihatkan tidak mengeluarkan kenyataan dan spekulasi di laman sosial yang dikhuatiri mengganggu inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau berharap orang ramai tidak menulis sebarangan kerana ia dikhuatiri menimbulkan salah tanggapan berkaitan inkues anggota bomba terbabit.

"Jikalau dia belum dalam senarai saksi inkues arwah Adib, maka kita minta supaya individu terbabit tampil.

"Jikalau dia tahu apa-apa, kita ingin dia ke depan dalam inkues. Kalau ada maklumat, datang maklumkan kepada mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang jururawat yang tular di Facebook menafikan kenyataan Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi bahawa kecederaan Allahyarham Adib adalah tidak seperti dipukul.

Menurut Zuraida, beliau berharap orang ramai memberi peluang pihak Mahkamah Koroner melakukan kerja mereka berkaitan kes terbabit.

Terdahulu, mesej seorang jururawat yang tidak berpuas hati dengan dakwaan saksi pakar bahawa kecederaan Allahyarham Adib bukanlah seperti dipukul menjadi tular di laman sosial.

Jururawat berkenaan memaklumkan bahawa Allahyarham Adib mengalami kecederaan akibat dipukul bukannya seperti didakwa saksi pakar.

Kelmarin, saksi pakar Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam, corak kecederaan pada Allahyarham Adib tidak sepadan dengan kesan dipukul.

Beliau yang merupakan saksi inkues ke-24 berkata, perkara terbabit adalah berdasarkan keputusan bedah siasat dilakukannya terhadap mayat mangsa pada 18 Disember 2018.

Dr Ahmad Hafizam berkata demikian bagi menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah pada hari ke-16 inkues kematian Muhammad Adib.