Rampas tanah jika masih ingkar

Tapak pembuangan sampah haram berhampiran Taman Teluk Gedung Indah.
Tapak pembuangan sampah haram berhampiran Taman Teluk Gedung Indah.
A
A
A

KLANG – Pemilik yang menjadikan tanah mereka sebagai tapak pembuangan sampah haram berhampiran Taman Teluk Gedung Indah di Pelabuhan Klang dii sini, berdepan tindakan undang-undang, termasuk tanah dirampas.

Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, pihaknya tidak boleh bertolak ansur dengan pemilik tanah yang terus berdegil walaupun sudah diberikan amaran.

“Awal April tahun lalu, kita menerima maklumat mengenai aktiviti pembuangan sampah di kawasan berkenaan. Malah notis kepada pemilik tanah di lot 1847 dan lot1854 turut dikeluarkan pada 27 April tahun lalu supaya menghentikan operasi pembuangan sampah.

“Bagaimanapun, aktiviti pembuangan sampah di kawasan itu dikesan masih aktif selepas kami menerima laporan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Menurutnya, justeru, Operasi Tindakan Penguatkuasaan Bersepadu bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK), Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dilaksanakan di tapak pelupusan sampah haram berkenaan, semalam.

“Terdapat bukti pembuangan sampah yang kembali beroperasi di lot 1848, lot 1851 dan lot 1854. Aktiviti ini juga melibatkan pencerobohan di tanah kerajaan di lot 1849 dan lot 1850.

“Kita mengeluarkan notis pencerobohan tanah kerajaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara ke atas kedua-dua lot tersebut yang melibatkan struktur bangunan (kilang papan) dan tapak pembuangan sampah,” katanya.

Mohd Zainal berkata, pihaknya turut mengeluarkan Notis 7A, di bawah Seksyen 128 dan 129 Kanun Tanah Negara iaitu Notis Untuk Memulihkan Pelanggaran Syarat Tanah.

“Pemilik tanah diberi tempoh selama tiga bulan dan tindakan perampasan tanah boleh diambil jika pemilik gagal mematuhi perintah notis. Kita turut memasang pita kuning dan papan tanda amaran di laluan masuk ke tapak pembuangan sampah haram itu.

Artikel Berkaitan:


“Skuad Pantas MPK juga akan menjalankan pemantauan berterusan bagi menghalang sebarang aktiviti pembuangan sampah di situ,” katanya.

Operasi dijalankan selama tiga jam dan berakhir jam 3 petang itu diketuai Penolong Pegawai Daerah Klang, Mohammad Saiful Azri Fouzi melibatkan 40 anggota daripada pihak agensi terbabit.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan lebih 100 keluarga di Taman Teluk Gedung Indah di sini, menanggung derita apabila terpaksa berdepan dengan masalah pencemaran bau sejak dua tahun lalu berikutan wujudnya tapak pelupusan sampah haram.

Penduduk mendakwa, tapak pelupusan sampah haram itu hanya terletak kira-kira 30 meter dari kawasan perumahan sekali gus menjejaskan kualiti kehidupan mereka apabila terpaksa berhadapan dengan bau busuk setiap masa.