Peniaga ayam digesa tidak naikkan harga ayam ketika musim perayaan

Peniaga ayam di Selangor digesa untuk tidak menaikkan harga ayam secara berlebihan menjelang musim perayaan. (Gambar kecil) Mohd Zawawi.
Peniaga ayam di Selangor digesa untuk tidak menaikkan harga ayam secara berlebihan menjelang musim perayaan. (Gambar kecil) Mohd Zawawi.
A
A
A

SHAH ALAM - Peniaga ayam di Selangor digesa untuk tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ayam secara berlebihan menjelang musim perayaan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, peningkatan harga ayam di musim perayaan akan memberi tekanan kepada golongan kurang berkemampuan, khususnya mereka yang mempunyai keluarga besar.

Menurutnya, kerajaan Selangor sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor untuk mengawal kenaikan harga barang mentah tersebut.

"Pihak kami sentiasa berhubung dengan KPDNHEP berkenaan harga barang yang kadangkala meningkat naik atau stabil terutamanya ketika musim perayaan.

"Semua pihak boleh dapat untung tapi jangan ambil kesempatan berlebihan di waktu musim perayaan kerana kita faham ramai orang kehilangan pekerjaan dan kurang pendapatan.

"Jadi bila harga barangan asas meningkat, pastinya ia memberi tekanan lebih kepada setiap isi rumah terutamanya mereka yang mempunyai keluarga besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Sesi Dialog Aspirasi Pembangunan Industri Halal Selangor Bersama Pemain Industri Kecil dan Sederhana (SME) dan Iftar Ramadan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Jumaat.

Baru-baru ini, KPDNHEP mengumumkan akan terus mengadakan sesi libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memastikan isu kenaikan harga ayam tidak berlarutan sehingga menjelang hari raya.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, beliau terkejut dengan perkembangan terkini apabila beberapa negeri dilaporkan masih mengalami kekurangan bekalan ayam dan telur, sedangkan MAFI memberi jaminan bekalan terbabit tidak akan terjejas sepanjang Ramadan.