Jari tangan kanan hancur, mercun bola meletup

Gambar kecil: Mohamad Ismail Jamaludin
Gambar kecil: Mohamad Ismail Jamaludin
A
A
A

BACHOK - [DIKEMASKINI] Seorang remaja lelaki hancur jari tangan kanan apabila mercun bola meletup sebelum sempat dibaling dalam kejadian di Kampung Lembah Beris Kubur Besar, Tawang di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, pelajar tingkatan dua berkenaan turut luka di leher akibat percikan bahan api itu dan gegendang telinga pecah.

“Mangsa memberitahu dia bermain mercun bola di belakang rumahnya di Kampung Lembah Beris Kubur Besar, Tawang, Bachok.

“Mangsa tidak sempat membaling mercun tersebut dan meletup ketika berada di tangan kanannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohamad Ismail berkata, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Beris Kubur Besar oleh abangnya dan dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut.

“Hasil rawatan awal mendapati tahap kecederaan yang dialami mangsa adalah serius di bahagian tangan sebelah kanan akibat bahan letupan, luka leher dan pecah gegendang telinga.

"Mangsa menjalani pembedahan membuang ibu jari, jari terlunjuk dan jari tengah,” katanya.

Ujarnya, mangsa masih mendapatkan rawatan dan bawah pemerhatian doktor pakar namun keadaannya stabil.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga kini, tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian ini.

“Polis menerima maklumat gambar kecederaan mangsa yang tular dan semakan mengesahkan Klinik Kesihatan Beris Kubor Besar, Tawang, Bachok menerima mangsa tersebut pada jam 4. 45 petang,” katanya.

Tambahnya, pasukan pemantau dianggotai lapan anggota dan dua pegawai akan melakukan pemantauan terhadap aktiviti bermain mercun.

“Amaran diberikan agar masyarakat lebih cakna akan keselamatan diri dan orang lain serta tidak bermain mercun,” katanya.