Majikan, industri tak patut pertikai gaji minimum RM1,500

Saravanan (dua dari kanan) menyerahkan Zakat Wakalah kepada wakil-wakil masjid dan surau di sekitar Parlimen Tapah di Dewan Merdeka Tapah di sini pada Jumaat.
Saravanan (dua dari kanan) menyerahkan Zakat Wakalah kepada wakil-wakil masjid dan surau di sekitar Parlimen Tapah di Dewan Merdeka Tapah di sini pada Jumaat.
A
A
A

TAPAH - Keputusan kerajaan melaksanakan kadar gaji minimum RM1,500 ketika ini tidak harus menjadi pertikaian majikan dan industri.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kenaikan kadar gaji minimum itu mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

Menurutnya, permintaan tinggi terhadap pekerja asing melebihi 500,000 orang membuktikan perkara tersebut.

"Kalau ekonomi tak begitu baik, bagaimana boleh ada permintaan untuk 519,000 pekerja asing. You can't play hot and cold. Walaupun ia masih dalam tapisan, tak lulus semua, ini keadaan semasa.

"Bukan saya tidak faham keperluan semasa tetapi saya masih bagi kelonggaran kepada syarikat-syarikat untuk melaksanakan kadar gaji minimum ini," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Serahan Zakat Wakalah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di Dewan Merdeka Tapah, di sini pada Jumaat.

Saravanan berkata, terdapat majikan yang bersedia melaksanakan gaji minimum RM1,500 dan bukan semua tidak bersetuju.

Jelasnya, kerajaan berusaha untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan di negara ini dan mereka yang sedang mencari pekerjaan mempunyai pilihan apabila gaji minimum dilaksanakan.

Beberapa majikan dan pemain industri sebelum ini dilapor meminta kerajaan memberikan masa kepada mereka untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa sebelum kadar gaji minimum itu dilaksanakan.

Artikel Berkaitan: