Kerajaan perlu perbincangan lanjut isu pengecualian kadar gaji minimum

Kamarul Baharin
Kamarul Baharin
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa agar kerajaan mengadakan perbincangan lanjut mengenai cadangan pengecualian kadar gaji minimum RM1,500 bersama pihak berkaitan agar tidak menimbulkan kemarahan dalam kalangan pekerja.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, pengecualian gaji minimum tersebut akan menyebabkan pekerja berasa terpinggir dan ditindas, malah terus berada dalam keadaan dinafikan hak untuk kenaikan gaji.

Tambah beliau, tempoh kelonggaran selama setahun untuk melaksanakan gaji minimum yang dikuatkuasakan Mei ini terhadap beberapa sektor pekerjaan juga adalah tidak munasabah.

“Sepertimana pengambilan amah yang perlu di bayar oleh majikan sebanyak RM1,500, majikan perlu berupaya membayar gaji tersebut. Mana-mana yang tidak mampu, tidak dibenarkan mengambil amah. Konsep ini juga patut digunapakai dalam mana-mana sektor.

“Justeru, MTUC percaya bahawa kerajaan tidak akan mendiskriminasikan pekerja dengan memberi pengecualian kepada sektor tertentu kerana keseluruhan pekerja sangat terkesan dengan kenaikan kos barangan.

“Sudah pasti kerajaan mempunyai perancangan dan memikirkan kebajikan pekerja bagi melaksanakan gaji RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan memberitahu beberapa sektor termasuk pekerjaan tidak formal diberi kelonggaran untuk melaksanakan gaji minimum RM1,500 yang dikuat kuasa Mei ini.

Menurutnya, tempoh kelonggaran tersebut adalah selama setahun.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata, nasib malang pekerja hotel juga akan berterusan jika pengecualian diberikan kepada industri itu kerana semenjak permulaan perintah gaji minimum sejak lapan tahun lalu, majikan tidak membayar gaji tersebut mengikut akta yang ditetapkan.

“MTUC tidak mahu zaman gelap pekerja hotel berterusan seolah-olah terkena sumpahan.

“Kekecewaan pekerja hotel akan mengakibatkan mereka mengambil langkah yang drastik dengan mencari pekerjaan baharu yang boleh memberikan gaji lebih baik, seterusnya menjejaskan industri perhotelan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MTUC akan menunggu pewartaan perintah gaji minimum oleh kerajaan dan akan membawa kepada mesyuarat Majlis Am MTUC bagi membuat keputusan.

“Jika pengecualian dan penangguhan dilaksanakan, maka Majlis AM MTUC berhak untuk mengambil tindakan kerana kelangsungan kehidupan pekerja diutamakan,” jelasnya.