Pemandu Toyota CHR disyaki langgar lari ditahan

Rakaman perlanggaran yang menjadi tular di laman sosial Facebook sejak Rabu.
Rakaman perlanggaran yang menjadi tular di laman sosial Facebook sejak Rabu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis telah menahan pemandu kereta jenis Toyota CHR berwarna merah yang didakwa terlibat dalam kejadian langgar lari di dua lokasi berbeza sekitar daerah ini pada Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Ibrahim Mat Som berkata, pemandu yang juga seorang lelaki berusia 31 tahun itu ditahan ketika tampil menyerah diri di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri kira-kira jam 1.45 pagi pada Jumaat.

“Menerusi rakaman video berdurasi 34 dan 23 saat yang tular di laman sosial baru-baru ini memaparkan satu kejadian sebuah kereta Toyota CHR bewarna merah yang telah melanggar dua buah motosikal di dua lokasi berbeza.

“Menerusi kejadian ini, polis telah menerima dua laporan yang mana satu kertas siasatan turut dibuka bagi membolehkan usaha mengesan suspek berkenaan dibuat.

“Bagaimanapun, suspek kemudiannya telah bertindak menyerah diri dengan hadir ke balai polis pada awal pagi Sabtu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, dua video memaparkan kejadian tular di laman sosial Facebook yang dipercayai berlaku di kilometer (KM) 16, Jalan Johor Bahru-Air Hitam dan Persiaran Ledang di sini kira-kira jam 9.30 malam pada Isnin.

Ibrahim berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

“Turut dirampas kenderaan yang digunakan suspek dalam kejadian itu. Suspek kini telah ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: