Apa status siasatan projek jalan bernilai RM800 juta di Sarawak

Laporan Sinar Harian pada 8 September 2020 mengenai penahanan dua pengarah syarikat oleh SPRM berkaitan projek bina jalan RM800 juta di Sarawak.
Laporan Sinar Harian pada 8 September 2020 mengenai penahanan dua pengarah syarikat oleh SPRM berkaitan projek bina jalan RM800 juta di Sarawak.
A
A
A

BARU-BARU ini isu pembinaan Jeti Kampung Mutap, Bekenu di Sarawak menjadi topik hangat perbincangan netizen apabila kos pembinaannya sebanyak RM50,000 didakwa tidak munasabah.

Ramai yang mempertikaikan kos tersebut kerana mereka berpandangan jeti sepanjang 15 meter itu dapat dibina dengan kos yang lebih rendah daripada harga yang dinyatakan.

Tampil menjelaskan kedudukan sebenar, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri dalam kenyataannya berkata, kos pembinaan jeti itu adalah termasuk kos logistik, selain faktor keselamatan dan keadaan jalan untuk ke kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, kayu belian yang digunakan bernilai RM9,000 satu meter adalah rendah daripada harga pasaran.

Turut mempengaruhi kos tersebut ialah buaya di sungai berkenaan yang menyebabkan kerja pembinaan perlu dilakukan dengan berhati-hati serta jalan ladang ke Kampung Mutap yang membebankan kontraktor.

Dalam reaksi segera, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sebarang unsur rasuah dalam pembinaan jeti kayu itu.

SPRM Sarawak yang telah menjalankan siasatan berhubung projek itu mendapati projek pembinaan itu tidak menunjukkan ada rasuah atau penyelewengan.

Ternyata penjelasan segera JKR dan SPRM menutup pelbagai dakwaan dan persepsi negatif orang ramai terhadap pembinaan jeti kayu itu.

Artikel Berkaitan:

Reda isu tersebut, isu infrastruktur di Sarawak yang hangat diperkatakan beberapa tahun lalu dibangkitkan semula beberapa portal berita tempatan.

Ia berkaitan dakwaan penyelewengan RM800 juta dalam projek pembinaan jalan raya di pedalaman Miri, Kapit, Ba’kelalan, Limbang dan Belaga yang dilaksanakan di bawah Projek Jiwa Murni kelolaan Kementerian Pertahanan.

Jika disorot kembali, kes ini bermula dengan Laporan Ketua Audit Negara 2015 yang mendedahkan mengenai kualiti kerja pengurusan Projek Jiwa Murni yang kurang memuaskan dan ada jalan yang tidak dilengkapkan dengan pembinaan bahu jalan serta longkang mengikut standard ditetapkan.

Jalan-jalan tersebut hanya diletakkan lapisan tar kira-kira setebal dua inci di atas permukaan tanah tanpa lapisan batu kerikil dan pasir seperti syarat kontrak.

Disebabkan kualiti kerja yang tidak memuaskan, jalan yang dilalui oleh lori-lori balak dan kenderaan berat itu mudah rosak dan tidak dapat digunakan oleh kenderaan ringan sebagai jalan penghubung antara kawasan-kawasan pedalaman.

Pada 30 Mei 2018, ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, jemaah menteri menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan dan Kementerian Pertahanan menjadi kementerian pertama yang disiasat.

Kemudiannya, pada 30 Januari 2019, Mohamad Sabu selaku menteri bertanggungjawab menegaskan kementeriannya tidak pernah menutup siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dalam Projek Jiwa Murni di Sarawak.

Susulan daripada itu, SPRM pada 8 September 2020 telah memulakan tindakan dengan menahan dua pengarah sebuah syarikat berusia 42 tahun dan 44 tahun bagi membantu siasatan dakwaan melakukan tuntutan palsu berjumlah RM800 juta.

Selepas itu mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM100,000 seorang dengan seorang penjamin.

Hari berikutnya iaitu pada 19 September 2020 pula, dua individu termasuk seorang bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelar Datuk ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan kes yang sama. Turut ditahan ialah pengarah sebuah syarikat pembekal.

Menurut laporan media, mereka merupakan rakan kongsi yang memiliki tiga syarikat yang memonopoli projek berkaitan pembinaan jalan.

Dan selepas dua tahun berlalu, tiada makluman ataupun perkembangan dimaklumkan SPRM berhubung kes itu sama ada kes masih berjalan ataupun SPRM mendapati tiada bukti kukuh untuk mendakwa mereka yang terlibat.

Adalah menjadi tanggungjawab SPRM untuk menjelaskan kepada masyarakat umum berkenaan status kes berkenaan kerana pembinaan jalan tersebut menelan kos yang besar serta melibatkan kepentingan awam.

Ia penting kerana jika tidak, kes tersebut akan terus dilupakan dan isu kegagalan menyiapkan projek rakyat mengikut spesifikasi ditetapkan akan terus berulang tanpa penyelesaian konkrit.