Tahap solidariti luar biasa UMNO pada PRU15: Bung Moktar

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dengan menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri memperlihatkan tahap solidariti luar biasa UMNO untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan itu menunjukkan kematangan pemimpin UMNO yang mengutamakan kesepakatan demi satu matlamat bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat membentuk kerajaan yang stabil untuk kemakmuran negara.

"UMNO Sabah menerima baik cadangan ini dan sentiasa memberikan sokongan padu terhadap keputusan parti yang menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU15," katanya dalam kenyataan bagi mengulas keputusan MKT pada Jumaat.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO solidariti ini mencerminkan sikap pemimpin UMNO yang lebih mengutamakan kepentingan negara dan parti melebihi daripada kepentingan peribadi.

"Keputusan mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon sudah tentu dapat mewujudkan elemen kestabilan bukan sahaja kepada imej parti, malah memperkukuhkan perspektif luar kepada masa hadapan politik negara," katanya.

Bung Moktar berkata, UMNO berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang bercelaru dalam menamakan calon Perdana Menteri mereka selepas PRU15 kerana lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan negara.

Katanya, keputusan MKT UMNO memberikan ruang yang luas kepada Perdana Menteri untuk menyusun dan merencana agenda bagi memenangi hati dan minda rakyat untuk memberikan sokongan kepada UMNO ketika menghadapi PRU15 nanti.

Sehubungan itu, Bung Moktar berkata, kepimpinan UMNO di semua peringkat kini perlu lebih fokus untuk menyusun jentera dan gerak kerja parti bagi mempastikan kemenangan UMNO dan BN pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan memaklumkan MKT UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri menjelang PRU15.