15 Pusat Komuniti Lestari dibina, kurangkan sisa pepejal

Mhd Saiful Anuar (tiga, kanan) memberi penerangan berkaitan pemprosesan sampah di Pusat Komuniti Lestari kepada Zuraida (kanan).
Mhd Saiful Anuar (tiga, kanan) memberi penerangan berkaitan pemprosesan sampah di Pusat Komuniti Lestari kepada Zuraida (kanan).
A
A
A
JITRA - Sebanyak 15 Pusat Komuniti Lestari akan dibina di Kedah dan Perlis sepanjang tahun ini, dalam usaha membangunkan sistem pengurusan sisa pepejal bersepadu, yang diyakini mampu mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Syarikat E-Idaman Sdn Bhd, Ir Mhd Saiful Anuar Zainal berkata, kawasan yang dikenal pasti termasuk empat buah masing-masing di Alor Setar dan Sungai Petani, tiga di Kubang Pasu, dua di Perlis serta setiap satu di Kulim dan Padang Terap.

Menurutnya, pusat terbabit merupakan antara usaha mendidik masyarakat kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar serta membudayakan aktiviti 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula) sebagai cara hidup.

“Komuniti setempat terutama B40 digalakkan ambil peluang kerjaya bersama kami untuk menjaga kebersihan, pada masa sama menjana pendapatan. Ini juga sebagai galakan kepada komuniti amalkan budaya kitar semula dan dapatkan ganjaran tunai,” katanya, ketika majlis perasmian Pusat Komuniti Lestari Taman Tunku Sarina oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Mhd Saiful Anuar berkata, penduduk boleh membawa barang kitar semula termasuk minyak masak terpakai ke pusat pengumpulan dan melekatkan sendiri pelekat kod bar, untuk memperoleh bayaran yang dikredit pada kad ‘Recycle For Life’ dalam tempoh 48 jam.

“Kemudahan ini meningkatkan kadar kitar semula dan kurangkan sisa ke tapak pelupusan sehingga 70 peratus, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta beri pulangan ekonomi,” katanya.

Menurutnya, pemprosesan 500 kilogram (kg) sisa makanan di Pusat Komuniti Lestari mampu menghasilkan 50 m3 biogas dan 500 kg baja kompos sehari.

“500 m3 biogas pula menghasilkan 100 kWh tenaga dan mampu memasak selama1000 jam dan menyalakan 10,000 unit lampu pendaflour selama sejam. Kompos yang dihasilkan baik untuk tanaman sayuran,” katanya.

Mhd Saiful Anuar berkata, sisa baki sampah yang tidak boleh diolah disimpan dalam bekas penyejuk pada suhu 4 darjah Celsius di Pusat Komuniti Lestari bagi mengekang percambahan bakteria sebelum dibawa ke tapak pelupusan.
Artikel Berkaitan:


“Bahan lain yang terhasil termasuk makanan anak ayam berkualiti yang diusahakan bersama Universiti Sains Malaysia (USM) serta penghasilan tenaga daripada air ‘leachate’ yang mewujudkan potensi bagi penghasilan tenaga elektrik,” katanya.

Menurutnya, janaan sisa pepejal dalam negara mencecah hampir 39,000 tan sehari dengan kadar kitar semula 24 peratus. Manakala di Kedah, purata janaan sisa adalah 1,600 tan sehari merangkumi sisa domestik, pukal serta pembersihan awam dengan kadar kitar semula 17 peratus.

“Ini antara masalah dalam pelupusan sisa dan pengurusan tapak pelupusan sedia ada, selain meningkatkan kos,” katanya.

Mhd Saiful Anuar berkata, pihaknya turut bercadang melaksanakan ‘Deposit Refund System’ terhadap barangan asas pengguna dengan memperkenalkan ‘Reverse Vending Machine’, yang dapat menerima botol minuman plastik dan barangan kitar semula lain.

“Konsep ini telah dilaksanakan di negara Barat secara meluas, ia dapat menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kitar semula. Ia juga berpotensi jana ekonomi, sosial dan persekitaran,” katanya.