Pembenihan awan dilaksana bila-bila masa di kawasan Kada

Salahuddin - Foto Bernama
Salahuddin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melaksanakan operasi pembenihan awan pada bila-bila masa bagi menyelamatkan lebih 7,440 hektar kawasan tanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) susulan fenomena kemarau di Kelantan.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan menggunakan peruntukan bersama Jabatan Meteorologi untuk melakukan operasi tersebut mengikut penentuan masa dan keadaan yang sesuai.

Beliau berkata kemarau berlarutan sejak lebih sebulan lalu telah menjejaskan teruk tanaman padi yang diusahakan oleh 2,555 petani di bawah kendalian KADA.

"Sekiranya kemelut bekalan air berterusan, lebih ramai petani akan terjejas dan jumlah kawasan terlibat juga akan meningkat, maka atas sebab itu, pihak kementerian sedang berusaha untuk mengatasi masalah ini dengan apa jua cara sekalipun bagi memastikan petani terus dibela,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, katanya, KADA juga telah mengambil langkah segera dengan membuat sistem penggiliran bekalan air ke petak sawah mengikut tempoh tertentu dan keperluan sebagaimana yang telah ditetapkan setiap kawasan tanaman padi di bawah seliaan agensi tersebut. Menurutnya, sebanyak empat unit pam sokongan dan satu unit ‘floating pump’ juga telah dibekalkan oleh KADA bagi menampung keperluan air selain mengagihkan 242 unit pam bergerak dan 212 unit ‘backward pump’ di setiap jajahan.

Di samping itu, katanya, bekalan diesel turut diberikan kepada petani untuk menggerakkan pam yang disediakan dan pam persendirian," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: