Pas Selangor sokong Ismail Sabri calon PM dalam PRU15

Ahmad Yunus
Ahmad Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor mengalu-alukan cadangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini untuk mengekalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon untuk jawatan tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Ismail Sabri membuktikan kemampuannya sebagai seorang Perdana Menteri yang berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia di bawah konsep 'Keluarga Malaysia'.

Menurutnya, beliau juga berupaya mengemudi negara keluar daripada pandemik Covid-19 serta memulihkan kesannya ke atas kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

"Pas Selangor cukup rapat dan memiliki pengalaman berkerja yang baik dengan Ismail Sabri ketika beliau mengetuai jentera UMNO serta Barisan Nasional (BN) Selangor selaku Pemangku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sehingga berjaya mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

"Semangatnya menyatupadukan ummah dan membina kekuatan Muafakat Nasional (MN) Selangor untuk menumbangkan kerajaan PH Selangor mencerminkan kegigihan serta jati diri beliau sebagai seorang pemimpin berkaliber, selain mempunyai masa depan yang baik.

"Pas Selangor mendoakan agar cadangan ini kekal dan terlaksana selepas PRU15 ini dengan harapan kestabilan negara dapat dikecapi serta rakyat dapat hidup aman dan sejahtera dalam negara kita yang tercinta," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan bahawa Pas di peringkat pusat turut menyatakan sokongan penuh parti itu kepada kepimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan melalui kenyataan berkata, parti tersebut berharap agenda perpaduan yang dipelopori Ismail Sabri dapat diteruskan selepas membuktikan berjaya mewujudkan kestabilan serta politik yang baik di negara ini.

Artikel Berkaitan: