Penganggur ditahan tanam ganja untuk kegunaan sendiri

Osman menunjukkan tiga pokok ganja yang dirampas daripada seorang penganggur dalam serbuan di Changkat Jering, Taiping.
Osman menunjukkan tiga pokok ganja yang dirampas daripada seorang penganggur dalam serbuan di Changkat Jering, Taiping.
A
A
A

TAIPING - Polis menahan seorang penganggur selepas didapati memiliki tiga pokok ganja hidup yang ditanam di sebuah pondok di Taman Menteri, Changkat Jering di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan dalam serbuan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping sekitar jam 3.45 petang.

"Pemeriksaan yang dijalankan menemui tiga pasu yang mempunyai pokok disyaki ganja.

"Polis turut menemui tiga peket plastik berisi daun-daun kering disyaki ganja seberat 16.5 gram dianggarkan bernilai RM900," katanya ketika sidang akhbar di IPD Taiping di sini pada Jumaat.

Menurutnya, suspek yang masih bujang itu dipercayai menanam sendiri pokok terbabit dengan membeli benih secara dalam talian.

Osman (kanan) menunjukkan biji benih pokok ganja yang dirampas.
Osman (kanan) menunjukkan biji benih pokok ganja yang dirampas.

"Kita turut menemui tujuh tiub berisi biji-biji disyaki ganja. Hasil saringan awal urin mendapati suspek positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC).

"Siasatan awal mendapati pondok terbabit dijadikan tempat penanaman ganja untuk kegunaan sendiri sejak enam bulan lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Osman berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6B dan 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.