Sultan Brunei terima Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Islam

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) yang juga Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Islam kepada Sultan Brunei Darussaalam, Sultan Hassanal Bolkiah sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-90 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM, hari ini. -Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) yang juga Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Islam kepada Sultan Brunei Darussaalam, Sultan Hassanal Bolkiah sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-90 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-90 hari ini menyaksikan Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Islam universiti itu.

Penganugerahan tersebut disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sultan Brunei menerima anugerah kehormat itu bersama 109 graduan UiTM dengan disaksikan Naib Canselor UiTM Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim dalam sidang pertama konvokesyen tersebut di Dewan Tuanku Canselor (DATC) di sini.

Yang turut menyaksikan istiadat penganugerahan tersebut ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik.

Sultan Brunei dalam titahnya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak UiTM khususnya Yang di-Pertuan Agong yang juga merupakan Canselor UiTM atas penganugerahan berkenaan. Sultan Hassanal Bolkiah turut bertitah penganugerahan itu merupakan satu penghormatan besar kepada baginda dan seluruh rakyat Brunei sebagai pemangkin hubungan dua hala antara Brunei dan Malaysia.

"Beta amat gembira dengan hubungan dua negara yang sentiasa diperkukuhkan dengan kerjasama universiti-universiti di Brunei dan Malaysia termasuk UiTM.

"Beta difahamkan UiTM bekerjasama dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), (Brunei) dalam penganjuran persidangan antarabangsa halal pada April akan datang," titah baginda.

Sultan Brunei bertitah diharapkan hubungan baik itu akan berterusan menerusi jalinan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pertukaran pelajar antara institusi pengajian tinggi kedua negara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Azraai dalam ucapannya berkata penganugerahan itu merupakan penghargaan atas sumbangan besar Sultan Brunei dalam pemerintahan dan kemajuan pesat Brunei dari aspek pentadbiran, undang-undang, keagamaan, pendidikan, sosioekonomi serta kemasyarakatan yang berteraskan syariat Islam.

Beliau berkata selain memperkukuhkan ukhwah, penganugerahan juga adalah sebagai jalinan memupuk kerjasama dua negara dalam pelbagai bidang, sama ada akademik dan bukan akademik. -Bernama