Kapal tunda China berlabuh tanpa kebenaran ditahan

Kapal tunda berdaftar di China yang ditahan di perairan Johor Timur di sini pada Khamis
Kapal tunda berdaftar di China yang ditahan di perairan Johor Timur di sini pada Khamis
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal tunda berdaftar dari China kerana disyaki berlabuh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur di sini pada Khamis.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tunda itu ditahan pada jam 2.15 petang di kedudukan 26.4 batu nautika timur laut Tanjung Penawar di sini.

“Pemeriksaan dilakukan ke atas kapal tunda sepanjang 62 meter itu mendapati, ia dikendalikan oleh 15 kru lelaki yang juga warganegara China berusia 27 hingga 64 tahun.

“Kesemua mereka bagaimana mempunyai pengenalan diri yang sah. Siasatan kemudiannya mendapati nakhoda kapal berkenaan gagal untuk mengemukakan kebenaran bersauh dan telah berada di perairan itu sejak 17 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Nurul Hizam berkata, nakhoda bersama kesemua kru kapal kemudiannya ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili di sini untuk siasatan lanjut.

“Kapal bersama semua kru ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang mana boleh memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Maritim Malaysia Johor ingin menasihatkan kepada syarikat perkapalan agar sentiasa memastikan kapal-kapal di bawah seliaan mereka untuk mematuhi undang-undang dan peraturan di perairan negeri ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: