PGG: Tadbir urus baik tingkat prestasi kewangan GLIC

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

PUTRAJAYA - Prinsip Tadbir Urus Baik bagi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (PGG) yang dilancarkan pada Jumaat akan menjadi rujukan tunggal garis asas tadbir urus dan amalan kemampanan semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, PGG berteraskan tiga prinsip utama iaitu kepimpinan dan keberkesanan lembaga pengarah; memastikan komposisi lembaga pengarah yang optimum, berkelayakan dan berwibawa serta menyokong pengendalian pelaburan dengan efektif.

"Bagi memastikan GLIC dikemudi dengan baik, PGG memberi penekanan terhadap peranan dan tanggunggjawab lembaga pengarah.

"Semua pengarah harus memimpin melalui teladan berdasarkan prinsip, serta kewajipan dalam ketelitian, ketelusan, dan kesetiaan,” katanya ketika berucap melancarkan PGG di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, PGG merupakan sebahagian daripada Program Penyusunan Semula GLIC/Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang diterajui oleh Kementerian Kewangan sejak 18 bulan yang lalu merangkumi, antaranya Program Memperkukuh Institusi Pelaburan Milik Kerajaan.

"Penyediaan PGG telah mengambil kira perkembangan semasa dan perbincangan berkaitan prinsip dan amalan tadbir tadbir urus terbaik di peringkat tempatan dan antarabangsa, termasuk Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada tahun lepas," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, PGG juga menyarankan penubuhan struktur tadbir urus bagi pengawasan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam strategi pelaburan masa hadapan.

"Ada pelbagai data yang menunjukkan bahawa syarikat yang memberi tumpuan kepada isu ESG telah berjaya mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti pekerja, mengurangkan pelbagai risiko, dan mencipta lebih banyak peluang perniagaan.

Artikel Berkaitan:

"Tambahan pula, pandemik Covid-19 telah banyak membuktikan dengan jelas bahawa syarikat korporat yang sentiasa bersiap-siaga dan mengamalkan tadbir urus yang baik memiliki kelebihan dari segi daya tahan,” katanya.

GLIC terdiri daripada enam organisasi iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Perbadanan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Khazanah Nasional Bhd; Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Jumlah keseluruhan aset di bawah kawalan keenam-enam GLIC ini adalah RM1.7 trilion, menjadikan GLIC sebagai antara tonggak utama dalam pembangunan sosioekonomi negara. - Bernama