Bunuh pekerja kilang, enam lelaki warga Myanmar diberkas

No Image Caption
A
A
A

SUNGAI BULOH - Seramai enam lelaki warga Myanmar ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang pekerja kilang di sebuah kilang di Kampung Baru Sungai Buloh pada 3 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua lelaki berusia 28 hingga 62 tahun itu ditahan secara berasingan di Sungai Buloh, Shah Alam dan Bandar Damai Perdana Cheras pada 3 hingga 5 April lalu.

"Kita turut merampas sebilah pisau berukuran 26 sentimeter dan sebatang pemutar skru bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada Jumaat.

Arjunaidi berkata, motif pembunuhan adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan seorang lelaki berusia 28 tahun yang juga warga Myanmar.

"Mangsa didakwa telah menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada suspek ketika mereka sedang minum bersama," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati kesemua suspek tiada rekod jenayah.

"Kesemua suspek ditahan reman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan: