Elon Musk tawar RM173 bilion beli Twitter

Elon Musk tawar RM173 bilion beli Twitter. - Foto Agensi
Elon Musk tawar RM173 bilion beli Twitter. - Foto Agensi
A
A
A

SAN FRANCISCO - Bilionair yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk dilapor mahu membeli Twitter pada harga AS$41 bilion (RM173 bilion) secara tunai.

Musk yang sebelum ini memegang sebanyak 9.2 peratus pegangan dalam Twitter membuat tawaran untuk membeli keseluruhan Twitter dengan nilai AS$54.20 (RM229) setiap saham.

Beliau mengumumkan penawaran tersebut setelah didapati menolak tawaran untuk menyertai barisan lembaga pengarah Twitter awal minggu lalu.

Langkah ini menurut penganalisa menandakan hasrat Musk untuk mengambil alih syarikat itu, memandangkan kerusi pengarah akan mengehadkan kepentingannya di bawah 15 peratus.

"Sejak membuat pelaburan, saya sedar syarikat ini tidak akan berkembang maju atau memenuhi keperluan masyarakat dalam bentuk semasanya. Twitter perlu ditransformasikan," menurut isi kandungan surat yang dihantar kepada Pengerusi Twitter, Bret Taylor.

Tambahnya lagi, tawaran yang diberikan adalah muktamad dan sekiranya tidak diterima beliau akan mempertimbangkan semula kedudukannya sebagai pemegang kepentingan.

Setakat ini, Twitter tidak memberikan sebarang respons kepada langkah Musk. - AFP