Lapangan terbang di Kedah tidak jejas Pulau Pinang

Kok Yew (tiga, kiri) meninjau peserta pertandingan kaligrafi.
Kok Yew (tiga, kiri) meninjau peserta pertandingan kaligrafi.
A
A
A

ALOR SETAR - Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah tidak akan memberi kesan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

Pengerusi DAP Kedah merangkap Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tan Kok Yew berkata, beliau melihat bahawa KXP dan PIA sebenarnya akan melengkapi antara satu sama lain.

Katanya, lapangan terbang antarabangsa di dua negeri di Wilayah Utara terbabit bukan hanya saling memerlukan, malah melengkapi antara satu sama lain.

Sehubungan itu, kata Kok Yew, beliau meminta Pulau Pinang supaya tidak bimbang dengan pembangunan KXP, memandangkan kewujudan dua lapangan terbabit akan melengkapi dan saling membantu antara satu sama lain.

Dalam perkembangan sama, katanya, pembinaan lapangan terbang antarabangsa terbabit memang satu keperluan terutamanya untuk kargo dalam kajian dilakukan sebelum ini.

"Memandangkan Kulim merupakan kawasan perindustrian, maka pembinaan KXP dilihat mampu menarik kemasukan pelabur ke Kedah. Kita kena tengok keperluan, yang mana lapangan terbang dijangka membantu meyakinkan pelabur asing untuk dapatkan perkhidmatan logistik, kos eksport dan lain-lain.

Malah, kata beliau, pembangunan projek kaitan aeroangkasa dijangkakan memberi peluang pekerjaan khususnya jurutera baharu akan dilahirkan," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali mengumumkan tujuh projek untuk pembangunan negeri Kedah bernilai RM3.2 bilion ketika lawatan kerjanya baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN Tujuh projek mega di Kedah libat kos lebih RM3.2 bilion

Antaranya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) ( RM1.6 bilion), Hub Industri Pembuatan dan Logistik di Sidam (RM300 juta), dua fasa Lebuhraya Koridor Utara (RM1.7 bilion), Perpustakaan Digital (RM15 juta), Taman Industri Petrokimia (RM2 juta) dan Program Kad KIDA.

Terdahulu, Kok Yew merasmikan Majlis Perasmian Pertandingan Kaligrafi Cina, Mengarang dan Melukis Peringkat Kebangsaan 2019 anjuran Pemuda Persatuan Teochew Kedah/Perlis di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peng Min.

ARTIKEL BERKAITAN KXP: Minta Kerajaan Pusat lakukan kajian