HSA usaha cari penyelesaian tangani isu kesesakan parkir

Hospital Sultanah Aminah. - Foto Bernama
Hospital Sultanah Aminah. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pihak pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, sentiasa berusaha mencari penyelesaian dan membuat penambahbaikan bagi menangani masalah kesesakan kawasan letak kenderaan hospital itu.

Pengarahnya Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata, peningkatan jumlah pesakit menjadikan kawasan parkir awam premis itu semakin sesak serta tidak dapat digunakan oleh semua pelawat pada satu-satu masa.

Beliau berkata, kawasan letak kenderaan HSA juga sudah mencapai kapasiti maksimum dan tidak mampu menampung peningkatan jumlah pesakit dan kenderaan saban tahun.

"Diketahui umum bahawa HSA juga merupakan hospital negeri di Johor yang menjadi satu-satunya pusat rujukan dan pusat latihan perkhidmatan kesihatan bagi wilayah selatan.

"Namun, pihak pengurusan sedaya upaya berusaha mencari penyelesaian dan penambahbaikan lot letak kenderaan bagi memberi ruang tambahan serta keselesaan kepada orang awam dan kakitangan,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi HSA pada Khamis.

Kenyataan tersebut adalah susulan laporan berita mengenai pelawat berdepan masalah untuk meletakkan kenderaan di hospital itu.

Beliau berkata sebanyak 920 lot parkir untuk kegunaan awam dan kakitangan diwartakan di kawasan hospital dan tambahan 320 lot yang tidak diwartakan dan tidak berturap untuk kakitangan, serta satu ruang letak kenderaan baharu dibina pada 21 November lepas, bagi memastikan kakitangan tidak menggunakan tempat letak kenderaan awam.

Mokhtar berkata pihaknya juga mengambil serius dakwaan bahawa kawasan letak kenderaan HSA turut digunakan pekerja Malaysia di Singapura.

Artikel Berkaitan:

Katanya perkhidmatan penyewaan dan pengurusan tempat letak kenderaan HSA adalah secara penswastaan sejak 2015 bagi mengekang kebanjiran kenderaan pekerja Malaysia di Singapura dan susulan pelaksanaan ini rondaan dan pemantauan berkala turut dilaksanakan.

"Didapati tiada lagi kenderaan awam (individu) yang bekerja di Singapura dilihat di dalam kawasan letak kenderaan hospital,” katanya. - Bernama