Speedy Tigers wajib kelompok empat terbaik

Subahan
Subahan
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) melontarkan cabaran kepada skuad The Speedy Tigers supaya pasukan itu wajib mara ke separuh akhir Piala Asia di Jakarta, Indonesia pada 23 Mei hingga 1 Jun depan.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal percaya The Speedy Tigers dapat mencapai sasaran itu seterusnya menjamin slot automatik ke Piala Dunia Lelaki 2023 di Bhubaneswar dan Rourkela, India dari 13 hingga 29 Januari tahun depan.

Subahan berkata, sasaran itu dianggap realistik susulan kedudukan terkini skuad kendalian Arul Selvaraj yang muncul pasukan kedua terbaik Asia.

“Mesti (layak separuh akhir)...kalau ikut atas kertas, kita mesti masuk separuh akhir dan menyertai Piala Dunia.

“Itu KPI (petunjuk prestasi utama) yang diletakkan kepada Arul dan pasukannya kerana kami yakin mereka dapat menamatkan di kedudukan empat teratas dan layak ke Piala Dunia,” katanya pada sidang media di majlis berbuka puasa bersama skuad kebangsaan pada Khamis.

Sementara itu, Subahan berkata, KHM sangat berpuas hati dengan prestasi dipamerkan Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan biarpun menamatkan saingan di tempat ke-11 daripada 16 pasukan bertanding pada Piala Dunia Remaja Wanita di Potchefstroom, Afrika Selatan baru-baru ini.

Beliau turut menarik perhatian terdapat pihak luar yang kagum dan terkejut dengan bakat dimiliki pemain negara.

“Amat berpuas hati namun sedikit terkilan kerana diletakkan dalam kumpulan maut bersama Jerman dan India yang berjaya layak ke separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

“Saya yakin kita boleh capai kedudukan lapan terbaik kalau diletakkan dalam kumpulan lain tetapi kami terima kerana ia membantu pemain meraih pengalaman,” tambahnya.

Pasukan negara yang tersingkir saingan kumpulan dengan merekodkan satu keputusan seri dan dua tewas meraih kedudukan ke-11 terbaik selepas menang ke atas Zimbabwe 7-2 pada perlawanan penentuan tempat ke-11 dan ke-12, Isnin lalu.