Boleh buat ujian RTK-Ag kendiri secara maya

KKM memperkenalkan satu alternatif baharu bagi RTK-Ag kendiri menerusi seliaan secara maya. - Foto 123rf
KKM memperkenalkan satu alternatif baharu bagi RTK-Ag kendiri menerusi seliaan secara maya. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan satu alternatif baharu bagi kit ujian pantas (RTK-Ag) kendiri menerusi seliaan secara maya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkhidmatan tersebut merupakan satu inisiatif teleperubatan yang ditawarkan secara digital tanpa memerlukan individu hadir secara fizikal ke fasiliti kesihatan.

Menurutnya, perkhidmatan ini berdasarkan kepada dokumen yang dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) semasa pandemik Covid-19.

"Ujian RTK-Ag secara maya itu membolehkan pengguna mendapatkan keputusan yang disahkan oleh pengamal perubatan dengan lebih cepat.

"Ini akan menjimatkan masa, kos serta mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain," katanya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.

Khairy berkata, perkhidmatan tersebut perlu mematuhi prosedur dengan seliaan hanya boleh dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar dengan MMC.

"Perkhidmatan maya dilaksanakan secara langsung (live) bagi mengelakkan berlaku penipuan dalam keputusan ujian, sekiranya rakaman video dibenarkan dan pelaporan keputusan ujian RTK-Ag hendaklah menggunakan platform e-Covid," katanya.

Beliau berkata, semasa sesi konsultasi, pengamal perubatan perlu memastikan penggunaan teknologi dan alatan yang bersesuaian serta mematuhi keperluan privasi pengguna.

Artikel Berkaitan:

"Pengamal perubatan juga perlu memastikan maklumat yang diberikan oleh pengguna adalah sahih dan melakukan penilaian status kesihatan pengguna.

"Selain itu, pengamal perubatan yang terlibat juga perlu memberi penerangan berkenaan aspek keselamatan seperti pengudaraan, kebersihan diri dan pelupusan kit ujian.

"Mereka perlu memastikan pengguna mematuhi prosedur pengambilan sampel seperti yang dinyatakan dalam manual kit ujian yang digunakan," katanya.

Menurutnya, unik identiti (unique identifier) perlu dipastikan pada kit ujian yang digunakan oleh setiap pengguna bagi mengelakkan pemalsuan dan duplikasi.

"Keseluruhan prosedur ini diselia secara langsung dan bukan rakaman video," katanya.

Katanya, inisiatif baharu ini dapat memudahkan lagi masyarakat dan pengembara melakukan pengujian Covid-19 serta keputusan yang telah ditentusahkan oleh pengamal perubatan.