'Ambil tindakan pemutihan tahfiz segera'

Rizam Ismail
Rizam Ismail
A
A
A
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor perlu mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti pusat-pusat tahfiz tidak berdaftar yang beroperasi secara tidak sah di negeri ini.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata, kerajaan negeri perlu mencari mekanisme terbaik bagi mengenal pasti pusat-pusat tahfiz terlibat bagi memastikan kebajikan pelajar di institusi berkenaan terbela.

Beliau berkata, sekiranya ada pusat tahfiz tidak berdaftar yang berkelayakan dan memenuhi syarat ditetapkan, kerajaan negeri sewajarnya memudahkan proses pendaftaran mereka bagi mengelakkan kesulitan pada masa hadapan.

"Jika ada pusat tahfiz berdaftar yang melanggar syarat-syarat ditetapkan, maka tindakan tegas perlu diambil dengan kadar segera demi kebajikan pelajar di sana," katanya kepada Sinar Harian

Rizam berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini yang mengarahkan kerajaan negeri melaksanakan proses pemutihan pusat-pusat tahfiz tidak berdaftar di negeri ini.

Mengulas lanjut, Rizam berkata, pendaftaran pusat-pusat tahfiz ini dilihat penting bagi memastikan pengurusan mereka menjalankan operasi mengikut syarat ditetapkan khususnya menepati piawaian keselamatan yang sewajarnya.

"Langkah ini adalah bagi mengelakkan kejadian yang berlaku di beberapa pusat tahfiz sebelum ini berulang pada masa hadapan.

"Malah terdapat juga kejadian pelajar pusat tahfiz dieksploitasi dan perkara-perkara inilah yang menyebabkan operasi institusi terbabit perlu berdaftar," katanya.

Dalam perkembangan lain, ketika mengulas mengenai insiden kekecohan melibatkan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) semalam, Rizam berkata, perkara itu tercetus disebabkan oleh provokasi murahan yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Artikel Berkaitan:


Beliau yang juga merupakan Adun Sungai Ayer Tawar menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan yang melakukan provokasi terbabit yang dilihat dapat mencetuskan ketegangan kaum.