Bekalan benih padi sah stabil

Abdul Rahman (tengah) bersama Azman (kiri) ketika membuat pemeriksaan di salah sebuah kilang pengeluar benih padi sah di sekitar negeri ini.
Abdul Rahman (tengah) bersama Azman (kiri) ketika membuat pemeriksaan di salah sebuah kilang pengeluar benih padi sah di sekitar negeri ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Bekalan benih padi sah masih stabil dan boleh diperolehi dari mana-mana peruncit yang diberi kebenaran oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi Dan Beras.

Pengarah Kawalselia Padi Dan Beras Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan negeri Kedah, Abdul Rahman Tajudin berkata, situasi terbabit adalah hasil tinjauan yang dijalankan bersama Exco Pertanian Dan Industri Makanan Negeri Kedah, Azman Nasrudin melalui Ops Benih yang bermula pada Selasa.

Katanya, pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati cuba mengambil kesempatan menaikkan harga atau menyembunyikan benih padi dalam pasaran.

"Tindakan tegas akan diambil di bawah peruntukan undang-undang sedia ada yang dikuatkuasakan oleh kementerian ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, orang ramai juga diminta memberikan kerjasama dalam usaha memastikan bekalan dan harga benih padi sah terkawal.

"Sekiranya mereka mempunyai sebarang maklumat berkaitan atau aduan, ia boleh disalurkan ke Pejabat Kawalselia Padi Dan Beras berhampiran," katanya.

Abdul Rahman menambah, kerancakkan aktiviti pengedaran benih padi sah kelihatan sedikit perlahan walaupun musim tanaman padi sudah bermula sejak Mac yang lalu.

"Ini berkemungkinan disebabkan musim tanaman padi kali ini pada bulan puasa, jadi kebanyakan petani menangguhkan aktiviti penanaman padi mereka sementara waktu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, petani disarankan untuk mendapatkan benih padi dengan segera bagi mengelakkan pembelian serentak.

"Kita risau situasi itu akan mendorong berlakunya eksploitasi harga benih padi apabila permintaan tinggi," katanya.

Menurut Abdul Rahman, Ops Benih yang berjalan selama tiga hari itu melibatkan pemeriksaan di peringkat pengeluar, pemborong, dan peruncit benih padi sah di seluruh negeri ini.

"Secara keseluruhannya kita dapati mereka mematuhi peraturan yang telah ditetapkan serta mematuhi harga maksimum iaitu RM31 di peringkat borong manakala RM35 di peringkat runcit bagi setiap kampit 20 kilogram," katanya.