Zambry digesa beri penjelasan isu kenaikan kos MAPS

Zhemin (dua kiri), pada sidang media berkenaan.
Zhemin (dua kiri), pada sidang media berkenaan.
A
A
A

IPOH - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir perlu memberikan penjelasan berhubung peningkatan kos Taman Tema Animasi Movie Animation Park Studios (MAPS) daripada RM390 juta kepada RM607 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Audit Perak Corporation Berhad (PCB) Chong Zhemin berkata, Zambry juga perlu bertanggungjawab kerana meluluskan kos tambahan bagi tujuan penambahbaikan MAPS kepada tiga pihak pemegang saham dengan perjanjian berjumlah RM250 juta.

Justeru menurut Zhemin, selaku bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Zambry perlu bertanggungjawab terhadap peningkatan kos di MAPS yang tidak pernah dikemukakan sebelum ini.

"Paling mengejutkan adalah jumlah RM607 juta itu adalah 57.21 peratus daripada Bajet Perak bagi 2019 yang berjumlah RM1.061 bilion.

"Jika dibuat perbandingan, RM42 bilion daripada skandal 1MDB adalah hanya 13.35 peratus daripada Bajet Negara yang berjumlah RM314.5 bilion.

"Jadi dia (Zambry), kena jawablah perkara ini," katanya pada sidang media laporan forensik audit MAPS Perak oleh Pengerusi Jawatankuasa Audit PCB, hari ini.

Sementara itu pada sidang media berkenaan juga Zhemin berkata, masih banyak perkara yang akan didedahkan dan pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan media setiap hari (mulai esok), mengenainya.

Katanya, kenyataan media berkenaan adalah soalan yang perlu dijawab oleh Zambry sehinggalah Sidang DUN Perak pada 16 April depan.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan keluarkan satu soalan setiap hari mulai esok untuk dijawab oleh Zambry," katanya.