Tahap air empangan di enam negeri bakal terjejas

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Xavier)
A
A

SHAH ALAM - Tahap air empangan yang terdapat di enam buah negeri dijangka terjejas ekoran taburan hujan yang rendah pada bulan April dan Mei.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, enam negeri tersebut ialah Negeri Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pahang dan Kelantan.

"Diramalkan negeri-negeri ini akan menerima hujan kurang daripada bacaan 25 peratus purata hujan tahunan pada April dan Mei

"Keadaan ini akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta mengurangkan sumber air sungai dan empangan di negeri tersebut," katanya.

Jelas beliau, pada ketika ini terdapat tiga buah empangan yang mempunyai simpanan kapasiti air berada dalam lingkungan 50 peratus.

"Empangan Muda, Kedah yang mempunyai kapasiti air sebanyak 58.97 peratus, Empangan Machap, Johor 55.61 peratus dan Empangan Sembrong, Johor mencatatkan jumlah takungan sebanyak 54.07 peratus manakala Empangan Bukit Kwong, Kelantan yang kapasiti storan sebanyak 37.28 peratus," ujarnya.

Xavier berkata, kemampuan untuk menyalurkan air kepada pengguna baik dari segi keperluan harian, industri dan pertanian khususnya untuk penanam padi namun perlu dikawal dengan kaedah penggiliran atau penjadualan semula tanaman padi.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencadangkan kepada pihak berkuasa negeri untuk mengambil tindakan dengan membuat pelepasan air daripada empangan terlibat secara terkawal.

"Dalam masa yang sama, JPS akan membuat pemantauan dari masa ke semasa dan laporan status kemarau dan ramalannya pada setiap minggu," ujar beliau.

Sebelum ini media melaporkan, lebih 30,000 penduduk di daerah Kuala Muda, Kedah mengalami gangguan bekalan air berikutan fenomena cuaca panas melampau.

Cuaca kering telah menjejaskan sumberi air mentah di tiga loji rawatan air (LRA) yang membekalkan air ke kawasan terjejas, menyebabkan LRA Tupah Headwork, LRA Merbok Headwork dan LRA Gurun mengeluarkan air terawat pada kadar 50 peratus sahaja.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia