Konvoi motosikal hantar juadah sahur

Balai Polis Kamunting antara lokasi persinggahan konvoi bermotosikal KMST bagi mengedarkan makanan bersahur kepada petugas barisan hadapan di sekitar bandar Taiping pada Rabu.
Balai Polis Kamunting antara lokasi persinggahan konvoi bermotosikal KMST bagi mengedarkan makanan bersahur kepada petugas barisan hadapan di sekitar bandar Taiping pada Rabu.
A
A
A

TAIPING - Kelab Motosikal Salam Taiping (KMST) tampil kelainan dengan berkonvoi melibatkan 35 motosikal untuk menghantar makanan sahur kepada petugas barisan hadapan di sekitar bandar Taiping di sini pada Rabu.

Pengerusinya, Mohd Nordin Mohd Yusoff berkata, sebanyak 13 lokasi persinggahan membabitkan balai polis, balai bomba, hospital serta kem tentera yang bermula dengan Balai Polis Kamunting dan berakhir di Kem 2 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja.

Menurutnya, daripada 35 motosikal sebanyak 20 daripadanya merupakan motosikal berkuasa tinggi yang turut sama di dalam konvoi tersebut.

"Program ini dicetus dengan usaha tabungan daripada ahli-ahli mahupun orang perseorangan. Kita juga tidak menerima sebarang dana daripada wakil rakyat. Dengan bajet inilah KMST bergerak secara konvoi bermotosikal bagi mengedarkan makanan untuk bersahur kepada agensi-agensi di seluruh Taiping dan Kamunting.

"Objektif program ini adalah untuk menghidupkan jiwa amal jariah dalam kalangan ahli bikers serta mendidik amalan bersedekah dalam bulan Ramadan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Nordin berkata, program itu diharap dapat mengeratkan hubungan kerjasama dengan pelbagai pihak selain menunjukkan sokongan kepada petugas barisan hadapan terdiri daripada anggota polis, tentera, bomba dan petugas kesihatan.

Beliau berkata, semangat ditunjukkan ahli-ahli KMST dalam program tersebut atas rasa prihatin serta menghargai anggota yang bertugas malam semasa bulan Ramadan melalui pengedaran makanan sahur.

Katanya, program tersebut akan diteruskan pada masa akan datang dan menjadi program tahunan buat kelab berkenaan.

Artikel Berkaitan: